LANGKAH Putrajaya membeku pengambilan pekerja asing menyebabkan sektor perikanan kekurangan tenaga kerja dan berdepan masa depan yang sukar.
Lebih teruk lagi, anak-anak muda langsung tidak berminat dengan industri ini, kata persatuan.
Mereka memberi amaran jika keadaan ini berterusan bekalan ikan di pasar akan berkurangan, menyebabkan harga ikan naik.
Anak muda tidak sanggup bekerja dalam sektor perikanan kerana ia berisiko tinggi, kata kerana Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia Chia Tian Hee.
Tambah beliau, pekerja asing yang sudah biasa dengan kerja-kerja di atas bot telah dihantar pulang ke negara asal dan tidak dibenarkan kembali, menyebabkan lambakan bot tersadai di jeti di dua negeri utara Semenanjung.
Katanya, sekitar 70% bot tersadai di jeti-jeti di Perlis, Kedah, Pantai Remis, Pangkor dan Bagan Panchor, yang membekalkan kira-kira 50% ikan di Malaysia.
“Mujurlah hasil tangkapan banyak semasa perintah kawalan pergerakan, jadi bekalan makanan laut cukup. Tetapi kita jangkakan bekalan tak akan cukup untuk memenuhi permintaan menjelang akhir tahun nanti, dan harga makanan laut akan naik,” kata Chia.
Bagaimanapun, keadaan berbeza di jeti-jeti di Selangor dan Johor, tambah beliau.
“Di Selangor, hanya antara 2 hingga 5% bot yang tersadai, begitu juga di Johor. Ini kerana pengusaha di dua negeri terbabit mendapatkan permit untuk pekerja asing mereka lebih awal supaya mereka tenaga kerja.
“Tetapi nelayan di Johor dan Selangor masih bimbang akan menghadapi masalah kekurangan pekerja apabila tempoh permit pekerja asing mereka tamat,” katanya.

Curi pekerja
Chia juga berkata kekurangan tenaga kerja di negeri utara Semenanjung sangat serius sehingga majikan terpaksa ke Johor dan Selangor untuk mencari pekerja, dengan tawaran gaji RM1,500 sebulan.
“Kita ada 22 kumpulan bersekutu di seluruh negara, terdiri daripada lebih 3,000 ahli. Dan kita dimaklumkan yang ahli kami di semua negeri supaya jangan pancing pekerja antara satu sama lain,” katanya.
Masalah kekurangan pekerja di utara Semenanjung juga kerana nelayan di sana bergantung kepada tenaga kerja dari Thailand, tetapi berdepan masalah susulan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Pekerja yang pulang ke negara asal tidak dapat balik semula ke sini untuk bekerja.
Masalah kurang pekerja ini begitu kritikal sehingga ada nelayan terpaksa mengupah pengawal untuk menjaga jeti supaya pekerja mereka tidak diambil orang lain. – 16 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen