.jpg)
AGAK menarik juga untuk diteliti bagaimana berita kes bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew dibingkaikan sehingga boleh menimbulkan tanggapan khalayak awam bahawa kes ini seolah-olah menyamai kes Najib Razak dan Rosmah Mansor.
Perkara ini diperkatakan oleh Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang mendakwa tuduhan rasuah terhadap Lim dan isterinya adalah untuk ‘menyamakan’ kes-kes bekas perdana menteri dan isteri. Cuma Liew tidak menjurus kepada pembingkaian berita kerana beliau bukan berlatarbelakangkan komunikasi.
Lim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Lim, 60, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Lim semasa menjawat jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Berita kedua pula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan isteri Lim, Betty bagi membantu siasatan berhubung kaitannya dengan sebuah syarikat swasta.
Ketika mengesahkan penahanan itu, peguam Lee Khai yang mewakili Betty berkata, SPRM sedang menyiasat satu laporan berhubung sebuah syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan Betty.
“Saya bertindak sebagai peguam Betty dan menemani beliau untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan pada hari ini,” katanya.
Teori pembingkaian amat menarik digunakan bagi meneliti pemberitaannya dan kesannya kepada khalayak pembaca.
Justeru, bingkai-bingkai berita ini adalah aspek kritikal kepada cara berita mempengaruhi masyarakat kerana bingkai berita menentukan intipati utama dalam sesuatu isu.
Daripada pembingkaian ini dapat dikemukakan persoalan mengapa bahan-bahan berita mempunyai seolah-olah suatu struktur tematik dalam pemberitaan Lim dan isteri.
Corak penulisan pemberitaan seperti ini tanpa disedari oleh si pemberita atau penulis yang mengikuti format tradisional bendul iaitu 5W1H boleh membawa kepada suatu tanggapan tertentu orang awam.
Harus diingati bahawa media sama ada tradisional atau media baharu adalah tempat orang awam memperolehi maklumat, terutamanya berita mengenai realiti politik yang berlaku di negara ini.
Oleh itu, bagaimana media membingkai berita amat berpengaruh kepada bagaimana khalayak (orang ramai) menilai dan menafsir berita atau isu tertentu.
Membayangkan kesan pembingkaian kepada tanggapan orang awam bukan mengandaikan mereka adalah khalayak yang pasif. Mereka juga entiti yang aktif menafsirkan realiti politik walaupun terdedah kepada kecederungan manipulasi, yang mempengaruhi keputusan mereka semasa mengundi dalam pilihan raya.
Dalam hubungan ini, pemahaman dan penilaian mereka terhadap realiti politik yang berlaku di negara ini sebahagiannya juga adalah hasil daripada pendedahan kepada berita yang disajikan media. Oleh itu pembikaian berita mempunyai agenda tertentu yang hendak dicapai.
Kes Lim dan isteri, yang disamakan dengan kes Najib dan Rosmah, ingin menunjukkan seolah-olah pemimpin DAP juga tidak bebas dari rasuah. Berita ini ingin memaparkan bahawa gaya hidup Betty menyamai Rosmah. Beliau didakwa dengan pertuduhan rasuah dan dikenali dengan pembelanjaan mewah.
Secara kritikalnya ia ingin memaparkan di mata rakyat bahawa DAP adalah parti korup dan tidak boleh mewakili golongan Cina atau pelbagai kaum.
Sasaran isu dakwaan rasuah daripada pembingkaian berita ini ialah orang Melayu bandar tidak harus percaya kepada parti DAP daripada Pakatan Harapan tetapi jika orang Melayu hendak mengundi parti Cina, mereka harus mengundi parti MCA.
Ini sekiranya MCA (walaupun tidak berada dalam Muafakat Nasional) bertanding di kawasan parlimen dan DUN yang pencabarnya adalah DAP.
Di Pulau Pinang misalnya, bagi pengundi Cina pembingkaian berita sebegini diharap dapat meraih undi mereka supaya mengundi MCA.
Pada pandangan kasar corak pemberitaan 5W1H memperlihatkan tiada kaitan politik tetapi dalam keadaan seperti kes mahkamah tanpa disedari berkecendurangan mencetuskan persepsi “bersalah” ke atas tokoh politik yang dituduh itu dan penghancuran imej tokoh politik dan parti yang diwakili itu, walaupun belum dibuktikan mahkamah.
Seolah-olah ia telah dibicarakan oleh media terlebih dahulu sebelum kes mahkamah bermula.
Ia boleh melahirkan tanggapan dan tafsiran bebas di media sosial dan dapat dirumuskan orang awam dalam menyamakan kes Najib-Rosmah dan kes Lim-Betty.
Pembingkaian kes Lim-Betty dapat dijadikan modal politik pilihan raya negeri di Sabah dan strategi mengalihkan perhatian orang awam dan kritikan masyarakat terhadap hukuman penjara dan denda ke atas Najib.
Sekadar mengulang kaji pada 28 Julai lepas, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa dalam perbicaraan SRC International.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Manakala Rosmah pula sedang menghadapi beberapa pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak. – 16 Ogos, 2020.
* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran di Universiti Selangor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen