SERAMAI 282 ahli Bersatu termasuk beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti itu yang menyokong bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad digugurkan keahlian.
Pengumuman dibuat parti berkenaan dalam iklan di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia yang ditandatangani setiausaha eksekutifnya Muhammad Suhaimi Yahya.
Notis itu turut menyenaraikan nama ahli, negeri, bahagian dan nombor keahlian mereka yang digugurkan.
Antara yang terlibat adalah Adun Batang Kali Harumaini Omar, Adun Jeram Shaid Rosli dan Adun Kuang Sallehudin Amiruddin.
Mereka adalah daripada bahagian di negeri Selangor.
Ahli majlis tertinggi yang juga pengasas parti Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi turut tersenarai.
Turut digugurkan ketua penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin dan bekas calon Adun Kayang Abdul Hanaan Khairy.
Azlina Mehtab Mohd Ishaq yang mencabar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun bagi jawatan ketua Wanita dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung turut menerima nasib yang sama.
Semalam Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata 288 ahli yang dengan terbabit kumpulan ‘Blackout’, iaitu gerakan untuk menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad digugurkan keahliannya berkuatkuasa serta merta.
“Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, kita sudah menyiasat semua aduan yang diterima dan hari ini saya akan keluarkan notis kepada 288 yang telah kita ambil tindakan dan mengugurkan keahlian Bersatu.
“Saya sudah memaklumkan kepada beberapa media dan akan mengeluarkan senarai nama mereka dalam akhbar, esok. Kepada Bahagian, kita akan memberi nama supaya jika ada (individu terbabit) yang menjadi wakil, tidak boleh menghadiri mesyuarat perwakilan Bahagian,” katanya.
Notis yang disiarkan hari ini menyebut mereka yang digugurkan melanggar Fasal 10.2 perlembagaan parti.
Fasal tersebut menyatakan bahawa seseorang kehilangan keanggotaan partinya jika mereka menyatakan keluar dari parti itu, bergabung dengan parti politik lain atau bertanding dalam pemilihan menentang calon rasmi parti itu.
282 individu itu tidak setuju dengan keputusan Muhyiddin untuk menyelaraskan parti itu dengan Perikatan Nasional dengan beberapa individu menyatakan secara terbuka bahawa mereka menyokong Dr Mahathir.
Sejak beberapa hari lalu ramai ahli parti berkenaan mengumumkan keluar parti atau membubarkan cawangannya. – 15 Ogos, 2020.
Komen