Duit Umno RM8 juta masuk ke Yayasan TH, kata Azeez


Diyana Ibrahim

Bekas pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim membuat pendedahan itu bagi menangkis tuduhan bahawa dana yayasan tersebut disalahgunakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

BEKAS pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Abdul Rahim mengakui Umno pernah menyalurkan RM8 juta kepada yayasan bawah lembaga itu untuk diagihkan kepada asnaf.

Beliau mengakui bahawa wang itu disalurkan sebagai bayaran zakat pada 2017 sewaktu beliau menjawat jawatan tersebut.

Perkara itu didedahkannya semasa debat dengan bekas menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof yang disiarkan langsung secara dalam talian pada malam tadi.

Azeez menyatakan demikian bagi menangkis tuduhan bahawa dana yayasan tersebut disalahgunakan.

Ahli Parlimen Umno itu seterusnya berkata, dakwaan itu tidak benar kerana tidak ada pendakwaan dikenakan ke atasnya sehingga kini.

“Setiap tahun Tabung Haji ada keluarkan zakat untuk rakan asnaf. Kita (Tabung Haji) punyai RM7 juta untuk diagihkan tapi waktu itu terlalu banyak harga jatuh, getah, sawit banyak sangat orang susah dalam bulan Ramadan.

“Jadi apa berlaku parti keramat Umno beri wang RM8 juta kepada Yayasan Tabung Haji dan rakan lain beri duit itu kepada saya untuk disumbang.

“Mereka hendak bagi (kepada) saya. Saya tak nak, saya kata bagi pada Yayasan TH,” kata ahli Parlimen Baling itu yang menambah ia diagihkan ke 67 kawasan Parlimen dalam masa 28 hari.

Perkara itu timbul ketika beliau ditanya sewaktu debat tersebut mengenai tiga laporan polis dibuat TH terhadap beliau pada 2018.

Laporan itu antara lain melibatkan Program Yayasan Tabung Haji 2017 yang merangkumi dana lebih RM22 juta.

Beliau didakwa menggunakan duit tersebut bagi tujuan politik.

Dalam jawapan balas, Mujahid seterusnya berkata perkara itu satu kesalahan kerana mana-mana yayasan tidak boleh menerima duit daripada parti politik.

“YB sudah sebut RM8 juta dari Umno, jadi terima kasih kerana mengesahkan,” kata Mujahid.

Dalam program itu Mujahid juga meminta penjelasan Azeez mengenai kes pelantikannya sebagai ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Jho low.

Mujahid bertanya adakah benar Azeez mendapat banyak elaun dan kemudahan pada 2014 ketika menjadi ahli lembaga pengarah syarikat Putrajaya Perdana Bhd termasuk menerima kereta.

Azeez seterusnyta mengakui beliau menerima kemudahan termasuk kereta namun menegaskan ia bukan satu kesalahan.

Beliau juga berkata pada awalnya tidak mengetahui bahawa syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan Low Taek Jho

“Memang ada (kereta) dan itu tak salah syarikat itu beri kerana masa itu mereka ada nilai dalam akaum sebanyak RM3 bilion,” katanya.

Kaitan Jho Low, penyangak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, dengan syarikat itu timbul apabila salah seorang pengarah Putrajaya Perdana Bhd mendedahkan namanya di mahkamah.

Pengarah tersebut, Rosman Abdullah memberitahu mahkamah pada Februari bahawa Jho Low terlibat dengan kes penyelewengan dana SRC International.

Beliau salah seorang saksi kes perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak.

Namun Azeez dalam program debat pada malam tadi menegaskan Najib tidak masuk campur dalam penyewengan berkenaan.

“Apabila Rosman ditahan terbukti Najib Razak tak pernah masuk campur waktu itu. Beliau  jadi perdana menteri waktu itu kalau betul Rosman tak masuk dalam lokap. beliau ditahan SPRM dan segala urusan ke bursa saham terhenti.

“Kontrak saya tamat, dan kereta pun dipulangkan,” katanya dalam program Berani Semuka yang disiar langsung melalui platform dalam talian Sinar Harian pada malam tadi.

Najib akhir bulan lalu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta SRC International yang masuk ke akaunnya.

Azeez pula berdepan sembilan tuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta dan tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah. – 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen