KETIDAKSTABILAN pentadbiran Amerika Syarikat menghalang usaha damai krisis senjata nuklear Korea Utara, yang sebenarnya sudah bersedia untuk berunding dengan AS, kata Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov pada Jumaat.
Persoalannya adalah “bagaimana untuk menyakinkan Korea Utara yang perjanjian itu tidak akan dibatalkan dalam masa setahun dua lagi oleh pentadbiran baru Amerika,” kata Lavrov kepada wartawan menurut kenyataan terjemahan yang dikeluarkan pada mesyuarat Organisasi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE).
“Korea Utara perlukan jaminan keselamatan terutama sekali (apabila) Washington kini mahu berundur daripada perjanjian nuklear Iran,” katanya.
“Saya berharap kita akan berupaya membuka dialog (untuk mengatasi) masalah nuklear di Semenanjung Korea,”
Selepas pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson pada Khamis, Lavrov berkata Moscow bersedia menjadi perantara rundingan antara Pyongyang dan Washington.
“Kita tahu yang Korea Utara mahu membincangkan jaminan keselamatan dengan Amerika Syarikat. Kami bersedia untuk menyokong, untuk terlibat dalam rundingan ini,” kata Lavrov pada Khamis.
“Kami yakin perlunya menghentikan kitaran bahaya konfrontasi, kecuaian dan provokasi (yang sedang berlaku kini).”
Ketegangan semakin memuncak di Semenanjung Korea selepas beberapa peluru berpandu dilepaskan Korea Utara, termasuk yang terbaru ujian peluru berpandu minggu lepas didakwa Pyongyang mampu mencapai kawasan AS.
Beberapa hari selepas itu, AS dan Korea Selatan memulakan latihan bersama tentera udara mereka, operasi yang dianggap Korea Utara sebagai “provokasi besar-besaran”.
Presiden AS Donald Trump berulang kali dikritik kerana membatalkan penglibatan AS dalam beberapa perjanjian antarabangsa yang sudah ditandatangani, termasuklah pakatan mengatasi perubahan iklim dunia Paris dan perjanjian nuklear Iran. – AFP, 8 Disember, 2017.
Komen