EU, Jordan masih percaya Perjanjian Oslo penawar konflik Israel-Palestin


Pengumuman Donald Trump mencetuskan bantahan seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Kesatuan Eropah dan Jordan masih percaya matlamat Perjanjian Oslo untuk mewujudkan dua negara merdeka yang berkongsi Baitulmaqdis sebagai ibu negara masih merupakan jalan terbaik konflik Palestin-Israel. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2017.

KETUA Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Federica Mogherini dan rakan sejawatnya dari Jordan, Aymane Safadi pada Jumaat berkata mereka tidak akan membiarkan penyelesaian dua-negara untuk menangani konflik Israel-Palestin terhenti.

“Kami tidak akan menyerah kalah,” kata Mogherini selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel seterusnya mencetuskan protes besar-besaran di rantau Arab dan seluruh dunia.

Katanya, matlamat Perjanjian Oslo pada 1993 dan 1995- yang memulakan proses perjanjian damai dan memenuhi “hak setiap rakyat Palestin untuk mentadbir diri sendiri”- akan terus kekal.

“Satu-satunya penyelesaian realistik adalah (kewujudan) dua negara dengan Baitulmaqdis menjadi ibu kota kedua-dua negara,” katanya.

Safadi juga menyuarakan pandangan sama, berkata: “Kita tak boleh menyerah kalah. Tiada alternatif lain selain penyelesaian dua-negara”.

Proses perjanjian damai sudah tergendala sejak 2014.

Pengumuman Trump menerima kecaman masyarakat antarabangsa, dan mencetuskan seruan intifada terbaru pemimpin Hamas, kumpulan Islam Palestin yang mentadbir Tebing Gaza.

Status Baitulmaqdis sangat sensitif kepada umat Islam, dan tunjuk perasaan diadakan di seluruh dunia selepas pengumuman itu dibuat.

Mogherini berkata dia juga sudah mencadangkan pihak yang terlibat dalam proses damai itu- EU, AS, Rusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)- diluaskan untuk meliputi Jordan, Arab Saudi dan Norway.

Katanya, idea sebuah negara Palestin dengan ibu kota serta pentadbiran sendiri sangat penting, bukan sahaja untuk menjamin keselamatan rantau itu, tetapi juga menjaga keselamatan warga Israel.

Trump berkata tindakannya itu- memenuhi janji kempen presiden 2016- adalah permulaan kepada “pendekatan baru” penyelesaian konflik Israel-Palestin.

Tetapi ramai penganalisis meluahkan kebimbangan tentang keadilan proses damai itu apabila Israel menerima manfaat besar tetapi negara itu tidak membalasnya dengan perkara lain.

Israel sudah lama mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, Palestin juga melihat daerah itu sebagai ibu kota negara mereka yang akan wujud kelak. – AFP, 8 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen