Pengarah filem X-Men didakwa cabul remaja lelaki bawah umur


Menurut dokumen mahkamah difailkan pada Khamis di Seattle, Washington, Singer dituduh melakukan serangan seksual kepada Cesar Sanchez-Guzman pada satu majlis yang diadakan di kapal layar milik kawan pengarah itu pada 2003. – Gambar AFP, 8 Disember, 2017.

PENGARAH Hollywood Bryan Singer yang dikenali ramai kerana kejayaan empat filem X-Men arahannya didakwa melakukan serangan seksual kepada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2003.

Menurut dokumen mahkamah difailkan pada Khamis di Seattle, Washington, Singer dituduh melakukan serangan seksual kepada Cesar Sanchez-Guzman pada satu majlis yang diadakan di kapal layar milik kawan pengarah itu.

Singer menawarkan peluang menaiki kapal layar itu kepada remaja itu, kemudian memujuknya masuk ke dalam sebuah bilik, “menutup pintu dan mengarahkan Cesar melakukan seks oral,” dedah dokumen itu.

Apabila remaja itu enggan, Singer memaksa Sanchez melakukan seks oral dan meliwatnya.

Selepas kejadian itu, Singer didakwa mendekati Sanchez-Guzman dan memberitahunya yang dia adalah penerbit di Hollywood, mengatakan “dia boleh membantu Cesar berlakon selagi mana Cesar tidak mendedahkan apa yang berlaku.”

Singer juga didakwa “memberitahu Cesar yang tiada siapa akan mempercayainya jika dia melaporkan kejadian itu dan dia boleh mengupah orang yang mampu merosakkan reputasi seseorang.”

Dalam satu kenyataan dikeluarkan peguam Singer kepada media hiburan AS, pengarah itu “menafikan dakwaan itu dan akan mempertahankan pengakuan tidak bersalah sehingga ke akhirnya.”

Dakwaan terbaru itu timbul ketika skandal Harvey Weinstein yang terbongkar Oktober lepas mencetuskan pelbagai dakwaan gangguan seksual kepada beberapa personaliti terkenal dalam industri hiburan, kewartawanan dan politik.

Kes itu dikendalikan oleh pasukan peguam yang bekerjasama dengan Jeff Herman, peguam yang mewakili Kadian Noble, salah seorang mangsa serangan Weinstein.

Singer, 52, sebelum ini turut didakwa melakukan kelucahan melampau kepada remaja bawah umur, tetapi dua kes itu sudah digugurkan daripada perbicaraan. 

Pada 2014, seorang lelaki bernama Michael Egan menyaman Singer mendakwa yang pengarah itu menyerangnya secara seksual. Kes itu akhirnya digugurkan dan Egan mengaku bersalah atas dakwaan menipu dalam kes lain.

Egan juga diwakili Herman- peguam yang mewakili Sanchez-Guzman.

Sebelum itu pada 1997, Singer dinamakan sebagai defendan dalam saman oleh seorang remaja berusia 14 tahun yang mendakwa dia dipaksa berbogel ketika penggambaran filem. Kes itu juga digugurkan.

Singer mengarah banyak filem, antara yang terkenal adalah The Usual Suspects (1995), Superman Returns (2006), dan Walkyrie (2008) serta empat filem X-Men yang diterbitkan pada 2000, 2003, 2014 dan 2016.

Baru-baru ini Singer dipecat daripada filem Bohemian Rhapsody- kisah benar penyanyi lagenda, Freedi Mercury- dua minggu sebelum penggambaran bermula kerana didakwa seringkali menghilangkan diri dalam proses pembikinan. – AFP, 8 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen