AIRBNB pada Jumaat berkata ia menyekat individu di bawah umur 25 di Britain, Perancis dan Sepanyol untuk menyewa rumah melalui platformnya bagi mengurangkan parti tidak dibenarkan dan sebagai langkah keselamatan.
Airbnb mula mengambil tindakan keras tahun lalu apabila banyak parti menimbulkan isu dengan jiran di komuniti tertentu, dengan pandemik koronavirus terdapat kebimbangan lebih besar berhubung acara seperti itu tambahan pula dengan langkah penjarakan sosial.
Airbnb berkata ia kini akan membuat percubaan sekatan itu di Britain, Perancis dan Sepanyol.
“Sekatan itu bertujuan untuk melindungi masyarakat setempat sambil tetap membenarkan tetamu lebih muda menempah senarai di luar kawasan kediaman mereka,” kata Airbnb dalam satu kenyataan.
Ia susulan tindakan serupa di Amerika Serikat dan Kanada, dan firma itu berkata pihaknya juga telah mengetatkan larangan mengadakan perjumpaan yang melanggar undang-undang kesihatan awam sebagai tindak balas terhadap pandemi koronavirus.
“Airbnb komited menjadi rakan kongsi yang baik kepada komuniti dan pengumuman hari ini susulan beberapa siri langkah yang diambil oleh platform untuk menghentikan tingkah laku antisosial dan parti tidak sah,” kata syarikat itu. – AFP, 14 Ogos, 2020.
Komen