.jpg)
PADA 7 Ogos 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
Ini merupakan langkah kerajaan bagi menguruskan krisis dan kesan pandemik Covid-19 kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.
RUU ini akan menaikkan siling statutori hutang daripada 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 60 peratus.
Langkah ini wajar bagi membolehkan kerajaan berbelanjaan lebih untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi menampung cabaran ‘Kebiasaan Baharu’.
Ia juga bertujuan untuk meluluskan peruntukan yang telah dibelanjakan kerajaan melalui Bantuan Prihatin Nasional (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Walaupun RUU ini amat penting, tetapi, RUU langkah sementara memberi kuasa yang begitu luas kepada Menteri Kewangan.
Subseksyen 5(2)(a) memberi kuasa kepada Menteri kewangan menggantung dan menghadkan peruntukan dalam jadual RUU dan pakej rangsangan ekonomi.
Subseksyen 5(2)(b) pula membenarkan menteri kewangan menggunakan peruntukan lebihan untuk sesuatu program.
Perkara ini akan membuka kepada risiko penyelewengan dan ketirisan tadbir urus kerajaan kerana menteri boleh menggunakan budi bicara dalam menentukan peruntukan kewangan bagi sesuatu program tanpa semak dan imbang daripada parlimen.
Pada 16 Mac, Kementerian Kewangan telah menubuhkan Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi memantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi 2020.
Meskipun Laksana dilihat seperti badan yang boleh menyemak pelaksanaan perbelanjaan pakej rangsangan ekonomi, namun unit ini hanya bertanggungjawab kepada Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
Kemuncak kelemahan pembentangan data kerajaan, mengenai pakej rangsangan ini timbul apabila maklumat pemberian bantuan Prihatin dalam ucapan perdana menteri pada 20 Julai yang lalu tidak tepat dan telah ditegur oleh bekas menteri daripada Pakatan Harapan.
Pejabat Perdana Menteri turut mengesahkan kesilapan ini.
Malah, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) timbul kekeliruan orang awam mengenai pengumuman kerajaan dalam sesuatu program atau dasar sehingga kerajaan menarik balik keputusan tersebut.
Sikap terburu-buru pihak kerajaan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat yang terkesan dengan tekanan ekonomi Covid-19.
Kesilapan ini tidak seharusnya berlaku kerana ia akan menimbulkan kegelisahan dan keraguan rakyat tentang komitmen kerajaan dalam menangani isu Covid-19.
Ia juga menggambarkan bahawa angka yang disebut kerajaan tidak memberi refleksi kepada situasi ekonomi sebenar dalam kalangan rakyat yang terkesan.
Jawatankuasa parlimen memantau kerajaan
Bagi memastikan kerajaan, khususnya Menteri Kewangan telus dalam mengendalikan situasi ekonomi Covid-19, RUU langkah sementara ini perlu memasukkan peranan parlimen sebagai badan yang memantau dan menyemak perbelanjaan kerajaan dalam isu Covid-19.
Perkara ini turut menjadi praktis negara-negara lain seperti New Zealand dan United Kingdom.
Fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Dewan Rakyat seperti JPK Bajet boleh menjadi badan penting dalam menyemak angka-angka, data dan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Kementerian Kewangan secara berkesan.
Menteri Kewangan juga perlu memberi sepenuh kerjasama dengan Dewan Negara yang telah menubuhkan Kumpulan Jawatankuasa Kerja COVID-19 pada 12 Mac 2020 sebagai institusi memantau ketelusan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19.
Kerjasama ini harus berteraskan keterbukaan Kementerian Kewangan menyediakan data dan laporan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang tepat kepada parlimen.
Orang awam juga boleh berinteraksi dan bekerjasama dengan parlimen, melalui JPK Bajet, dalam membentangkan cadangan dan kajian mengenai usaha menangani impak pandemik Covid-19 dalam aspek ekonomi mahupun sosial.
RUU ini perlu disemak dan dikaji oleh JPK Menimbang RUU atau JPK Bajet sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Kedua-dua jawatnkuasa ini perlu memastikan RUU langkah sementara ini efektif dan mampu menangani isu ekonomi akibat Covid-19.
Dalam era Kebiasaan Baharu ini, kerajaan perlu melihat parlimen sebagai rakan kongsi dalam menguruskan negara berdepan Covid-19.
Pendekatan memberi kuasa yang begitu luas kepada Menteri Kewangan tidak lagi efektif.
Integriti dan ketelusan tadbir urus kewangan negara adalah lebih utama dan tidak boleh dipandang ringan.
Oleh itu, amat wajar sekiranya kerajaan menekankan peranan parlimen sebagai institusi semak dan imbang ketika pandemik Covid-19 dalam memasukkan peranan parlimen dalam RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang akan dibahaskan tidak lama lagi. – 13 Ogos, 2020.
* Fakhrurrazi Rashid, Koordinator Penyelidik, Research for Social Advancement (REFSA)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen