Penafian Khaled tak cukup hapuskan dakwaan rasuah, kata DAP


Ikhwan Zulkaflee

Terdahulu, Gobind Singh Deo dan Wong Shu Qi masuk ke dalam IPK Johor selama 40 minit untuk merekodkan keterangan Wong bagi membantu siasatan kebocoran dokumen kenyataan saksi SPRM dalam satu kes skandal hartanah melibatkan seorang bekas exco kerajaan negeri Johor. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Disember, 2017.

PENGERUSI Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan rasuah mengaitkan Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin.

Gobind berkata beliau akan menulis surat kepada Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertanyakan perkembangan siasatan berkenaan dakwaan dihadapi Khaled. 

Tambahnya lagi, penafian dari Khaled semata-mata tidak mencukupi untuk menghilangkan dakwaan yang timbul. 

“Kita semua tahu, kita semua dah baca apa yang disebut oleh Yang Berhormat Wong (Shu Qi) semasa perbahasan itu (dalam sidang DUN Johor). 

“Dan persoalan yang berbangkit ialah kita semua tahu bahawa menteri besar dah buat satu kenyataan (balas). 

“Tetapi pada kita perkara yang perlu adalah satu siasatan. Kita tidak katakan satu kesalahan telah dilakukan (oleh Khaled) tetapi terdapat maklumat-maklumat yang dikemukakan dalam dewan itu, dan saya rasa bahawa hanya satu penafian dari seseorang tidak boleh menutup atau menghilangkan perkara tersebut,” kata Gobind, yang juga peguam kepada Wong dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, sebentar tadi. 

Terdahulu, Gobind dan Wong masuk ke dalam IPK Johor selama 40 minit untuk merekodkan keterangan Wong bagi membantu siasatan kebocoran dokumen kenyataan saksi SPRM dalam satu kes skandal hartanah melibatkan seorang bekas exco kerajaan negeri Johor. 

Gobind turut mempersoalkan keperluan pihak berkuasa merekodkan keterangan Wong kerana beliau dilindungi kekebalan Adun ketika berucap dalam Dewan Undangan Negeri.

“Wong hanya menjalankan tugasnya sebagai ahli dewan,” katanya lagi. 

Wong pada 27 November lalu dalam sidang DUN Johor bertanya sekiranya benar Khaled menerima RM12 juta daripada seorang pemaju untuk mengubah status Bumiputera tanah kediaman kepada status bukan Bumiputera.

Khaled bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai satu dakwaan berniat jahat. Khaled turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Wong kerana membocorkan rahsia kerajaan. – 8 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen