PERTUBUHAN Cina, Hua Zong, mahu semua pihak sama ada daripada kerajaan atau pembangkang bersatu dan senada dalam menyuarakan isu yang melibatkan komuniti itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia, Goh Tian Chuan berkata politik tidak dapat dielakkan apabila ia menyentuh beberapa isu melibatkan komuniti berkenaan.
Pemimpin Hua Zong, salah satu daripada organisasi Cina paling berpengaruh di negara ini, berkata walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan yang beliau adalah perdana menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, pendirian Perikatan Nasional (PN) dalam isu berkenaan banyak dipengaruhi majoriti Melayu-Islam.
PN terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Umno, PAS dan Bersatu dan Parti Gabungan Sarawak.
Goh berkata ini adalah realiti bagi situasi dihadapi komuniti itu.
“Jadi tidak kisahlah sama ada parti Cina berada dalam kerajaan atau pembangkang, mereka harus bersatu dan membantu menangani masalah masyarakat,” katanya dalam wawancara baru-baru ini dengan The Malaysian Insight.
Goh berkata Hua Zong menjauhi politik tetapi dalam menyelesaikan masalah dihadapi kaum Cina, ia akan memerlukan bantuan kerajaan dan politik.
Justeru, katanya organisasi itu sering berhubung rapat dengan pemimpin dan menteri untuk memberikan input dan pandangannya.
Ia bertemu Muhyiddin pada 17 Julai lalu untuk berdialog dan menyerahkan senarai harapan Belanjawan 2021 kepada perdana menteri.
Goh berkata, isu yang mempengaruhi komuniti itu termasuk berkaitan politik, ekonomi dan pendidikan.
“Ramai kaum Cina terlibat dalam sektor swasta, jadi mereka bimbang mengenai ekonomi, dan tentu saja, ada yang mengutamakan pendidikan, yang bermaksud isu seperti sekolah swasta Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya.
Hua Zong adalah antara yang berjuang untuk memastikan peperiksaan UEC diiktiraf oleh Putrajaya.
Goh berkata perlu ada lebih banyak pemahaman mengenai masyarakat Cina oleh kaum lain agar masalahnya dapat diselesaikan.
Bagi tujuan ini, Hua Zong, katanya sedang berusaha mengatur lebih banyak aktiviti antara kaum untuk melibatkan kaum lain.
“Sebagai contoh, semasa perayaan Tahun Baru Cina dan sambutan musim bunga awal tahun ini, kami menjemput beberapa kumpulan sivil Islam dan beberapa menteri bukan Cina menyertai kami,” katanya.
Goh berkata selepas menerajui Hua Zong selama setahun, beliau mengeluarkan kenyataan mengenai isu negara kepada media dalam bahasa Inggeris dan menyampaikan cadangan serta wawasannya kepada perdana menteri dan menteri dalam Bahasa Malaysia dalam usaha membantu orang lain memahami komuniti dan pendirian mereka dengan lebih baik berhubung isu berkenaan.
“Muzium Cina Malaysia Hua Zong juga mengundang beberapa pegawai kerajaan Islam dan kumpulan sivil untuk melawat, dan ia memberi kesan mendalam terhadap komuniti Cina dan ia berjaya memperbaiki komuniiti,” katanya.
Goh, yang juga presiden Dewan Perhimpunan Cina Sabah, berkata semua kaum di Borneo hidup harmoni antara satu sama lain, tidak seperti di Semenanjung dan tiada perbalahan bersifat perkauman dan agama.
“Di Malaysia Timur, penduduk daripada pelbagai kaum menyertai perlumbaan bot naga, termasuk pemimpin negeri, pegawai tinggi kerajaan, hinggalah rakyat biasa. Semua orang gembira.
“Oleh itu, saya percaya dengan saling memahami antara satu sama lain, tidak akan ada lagi masalah perkauman atau agama,” katanya. – 13 Ogos, 2020.
Komen