Persatuan Cina masih berharap Perikatan iktiraf UEC


Angie Tan

Presiden Hua Zhong Goh Tian Chuan berkata mereka yang menyokong UEC perlu mencari jalan penyelesaian supaya isu kontroversi ini dapat diterima oleh semua rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2020.

SIJIL Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih ada harapan untuk diiktiraf oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun mendapat banyak bantahan, kata Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong).

Presiden Hua Zhong Goh Tian Chuan berkata mereka yang menyokong UEC perlu mencari jalan penyelesaian supaya isu kontroversi ini dapat diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Menurut Goh, pada pertemuan bersama Muhyiddin Yassin, yang diadakan pada 16 Julai lalu, perdana menteri itu tidak menyebut sama ada menerima atau menolak pengiktirafan UEC.

“Bagaimana UEC boleh diterima oleh semua? Terutamanya dalam konteks pendidikan nasional, bergantung kepada pemimpin negara, menteri, Dong Zong dan masyarakat Cina.

“Isu ini memerlukan usaha daripada semua pihak supaya ia dapat diselesaikan,” katanya kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.

“Semasa bertemu perdana menteri, beliau tidak terima atau tolak UEC, tetapi berkata ia masih jadi perdebatan hangat dan perlu dipertimbangkan. Masih perlu dikaji dengan lebih mendalam supaya satu penyelesaian menang-menang dapat dicapai.

“Dalam hal ini Hua Zhong bersetuju. Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, dan dalam perjuangan ini kita perlu bertindak bersesuaian dengan situasi semasa, usah keterlaluan,” kata Goh.

UEC ialah ujian peperiksaan peringkat menengah yang ditadbir oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), ditawarkan dan diguna pakai oleh sekolah-sekolah menengah persendirian Cina sejak 1975.

Umno, parti yang dominan dalam PN membantah keras UEC diiktiraf, yang disifatkan sebagai satu ancaman kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selepas bertahun-tahun mencuba ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ahli akademik Cina berharap mereka mempunyai peluang yang cerah apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PH dalam manifesto pilihan rayanya memberi jaminan akan mengiktiraf UEC sekiranya menang dalam PRU14.

Jawatankuasa Khas kemudian ditubuhkan pada Oktober 2018, untuk meneliti dan mengumpul fakta berhubung UEC secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Khas UEC Eddin Khoo. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2020.

Bagaimanapun, laporan akhir mengenai UEC tidak dapat disiapkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Eddin Khoo, berkata kerja-kerja menyiapkan laporan itu tergendala sepanjang tempoh PKP dan hanya bersambung pada akhir Julai.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan tempoh proses itu akan selesai tetapi menekankan ia masih berjalan. 

“Kami perlu melalui pelbagai proses dalaman dan saluran terlebih dahulu sebelum menghantar laporan itu kepada Kabinet,” kata Khoo.

UEC menyamai Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan diiktiraf kebanyakan universiti di seluruh dunia termasuk di Britain dan Amerika Syarikat.

Pada 2015, Sarawak menjadi negeri pertama mengiktiraf sijil itu, sekali gus membenarkan pemegang sijil itu bekerja dalam perkhidmatan awam dan belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Kemudian Pulau Pinang, Selangor dan Melaka turut mengikut langkah sama.

Penganalisis politik Cheah See Kian berkata Perikatan Nasional berdepan masalah sama yang dihadapi PH dan BN sebelum ini kerana tiada persetujuan bersama untuk mengiktiraf UEC.

“Semasa Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri (kerajaan PH) pun tak capai kata sepakat, apa bezanya dengan Muhyiddin?

“Dari kerajaan BN hinggalah kerajaan PH, pengiktirafan UEC sentiasa digunakan untuk raih sokongan orang Cina,” kata Cheah. – 13 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen