KOREA Selatan dan Jepun sedang berunding mengenai kaedah untuk melonggarkan sekatan kepada pelancong perniagaan, kata sumber diplomatik pada Rabu.
Bulan lalu, Seoul dan Tokyo memulakan rundingan diplomatik untuk melonggarkan sekatan berdasarkan pandangan bersama bahawa kedua-dua negara wajar membenarkan kemasukan ahli perniagaan, selagi mereka tidak menganggu usaha memerangi wabak Covid-19, lapor agensi berita Yonhap.
“Rundingan masih di peringkat awal, negara berkenaan pada dasarnya telah memeriksa fakta-fakta berkaitan - suatu proses yang mungkin memerlukan masa,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan.
Pada Mac, kedua-dua negara mengenakan sekatan kemasukan antara satu sama lain, mengeruhkan lagi hubungan yang sudah tegang. Tokyo terlebih dahulu mengumumkan larangan kemasukan kepada pelancong Korea Selatan, mendorong Seoul bertindak balas.
Semasa perbincangan melalui telefon pada Jun, Menteri Luar Kang Kyung-wha mengesyorkan rakan sejawatannya dari Jepun, Toshimitsu Motegi, supaya diberikan kelonggaran kepada ahli perniagaan. Tetapi Motegi dilaporkan menolak cadangan itu, dengan menekankan bahawa “keutamaan” Tokyo ialah untuk membendung virus daripada terus merebak. – Bernama, 12 Ogos, 2020.
Komen