Pejuang nama parti baharu Dr Mahathir


Parti politik baharu Dr Mahathir Mohamad diberi nama Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan parti baharu yang sedang ditubuhkannya akan diberi nama Pejuang.

Beliau menyebut nama itu dalam satu kenyataan yang ditulis seperti sebuah puisi, yang disiarkan melalui blognya petang ini, lima hari selepas mengumumkan penubuhannya pada Jumaat lalu.

Dr Mahathir berkata parti baharu itu ditubuhkan atas kesedaran bahawa rasuah menghancurkan bangsa dan orang Melayu.

“Jika ingin dapat jawatan dan wang, pilih parti lain.

“Jika ingin tebus maruah, jika ingin kekal hak kita, pilih parti kami. Pilih Pejuang,” tulisnya di blog Chedet.

Dr Mahathir dijadual mengumumkan calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Slim River, Perak, malam ini.

Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu beberapa jam selepas mahkamah menolak permohonannya mencabar tindakan diberhentikan sebagai ahli Bersatu pada 7 Ogos.

Ketika itu beliau berkata parti baharu itu tidak akan terikat dengan mana-mana gabungan parti politik sedia ada, baik Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

 

Menurut Dr Mahathir, parti baharu itu bertujuan untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan negara dan bangsa selepas Bersatu yang diasaskan untuk menjatuhkan Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) dirampas oleh Presidennya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH pada hujung Februari lalu, pada hari sama Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri yang menyebabkan kabinetnya terbubar serta merta.

PH seterusnya hilang majoriti di Dewan Rakyat pada hari yang sama selepas bekas timbalan presiden PKR yang dipecat Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen yang bersamanya juga menarik sokongan mereka.

Bersatu dan kelompok Azmin kemudian membentuk kerajaan gabungan baharu bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan komponen BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac, namun tidak mendapat sokongan daripada Dr Mahathir dan penyokongnya dalam Bersatu. 

Perpecahan dalam Bersatu sampai pada kemuncaknya apabila parti memberhentikan keahlian Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen yang lain kerana menyokong pembangkang pada 28 Mei.

Pemberhentian keahlian mereka disahkan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat pada 4 Jun.

Dr Mahathir dan kumpulannya kemudian mengemukakan saman pemula di mahkamah mempertikaikan tindakan terhadap mereka dan menuntut perisytiharan status quo sebagai ahli dan pemegang jawatan yang sah.

Mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan mereka tiada locus standi untuk memulakan tindakan tersebut. – 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen