Remaja disamun, dibelasah 2 warga Bangladesh


DUA warga Bangladesh bukan sahaja menyamun seorang remaja lelaki warga tempatan malah bertindak memukul mangsa dalam satu kejadian di tepi Jalan Kampung Gambut, Punggai, Pengerang dekat Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata siasatan mendapati mangsa yang berusia 17 tahun disamun setelah menemani kedua-dua suspek lelaki dianggarkan berusia 30-an itu untuk membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Bandar Penawar pada 5 petang.

Beliau berkata mangsa mengenali suspek menerusi aplikasi Michat dan bersetuju keluar bersama mereka atas kerelaan sendiri.

“Dalam kejadian ini, mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri dan kaki kanan akibat dipukul oleh suspek.

“Telefon bimbit, wang tunai RM200 serta dokumen diri milik mangsa turut dilarikan,” menurutnya dalam kenyataan di Johor Bahru pada lewat petang tadi.

Beliau berkata kes itu turut tular di media sosial dan pada awalnya, mangsa didakwa telah diculik dan terdapat cubaan rogol terhadapnnya oleh kedua-dua suspek.

“Kita menafikan kejadian tular tersebut dan siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berperwatakan wanita yang mengenali suspek melalui aplikasi itu dan mangsa telah keluar dengan suspek dengan kerelaan sendiri sebelum disamun,” katanya.

Hussin berkata pihaknya sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Syukor di talian 011-1082 3779.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, pesalah berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan. – Bernama, 11 Ogos, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen