Tiada siapa jadi hamba orang Melayu, kata ahli Parlimen PAS


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Ketuanan Melayu tidak boleh disamakan dengan White Supremacy kerana tiada sesiapa yang menjadi hamba kepada orang Melayu di negara ini, kata Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari. – Gambar Facebook, 11 Ogos, 2020.

KETUANAN Melayu tidak boleh disamakan dengan White Supremacy kerana tiada sesiapa yang menjadi hamba kepada orang Melayu di negara ini, kata seorang ahli Parlimen PAS.

“Yang berlaku di Barat, bagaimana orang yang bukan berkulit putih tidak dibenarkan untuk mengundi, tidak dibenarkan memiliki harta, menikmati hak mereka sebagai seorang manusia. 

“Tidak pernah mana-mana bangsa menjadi hamba kepada orang Melayu di Malaysia.

“Justeru menyamakan secara total ketuanan Melayu ini sebagai White Supremacy adalah satu kefahaman dan pengertian yang salah sama sekali,” kata Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PAS) semasa perbahasan RUU Perbakalan Tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu (Kota Raja-PH) bulan lalu menyamakan ketuanan Melayu dengan White Supremacy.

Fadhli berkata ketuanan Melayu bukan bermaksud Melayu adalah tuan manakala orang lain menjadi hamba.

“Ketuanan Melayu bukan bererti Melayu menjadi tuan, ada orang lain yang menjadi hamba. Itu tidak betul.

“Itu sebagaimana kita jadi tuan rumah, orang datang rumah kita adakah tetamu yang datang itu jadi hamba?” soal beliau.

Tambah beliau, kerajaan perlu membetulkan pemahaman mengenai isu ini menerusi televisyen dan saluran media lain.

“Kementerian Pendidikan sebagai contoh boleh membuat program sama ada dalam televisyen dan pelbagai media, menjelaskan bahawa isu ketuanan Melayu ini perlu difahami dalam konteks mempertahankan hak orang Melayu, keisitimewaan Bumiputera yang terkandung dalam Perlembagaan.

“Bukan menjadikan orang Melayu sebagai tuan dan bangsa lain sebagai hamba. Itu kefahaman yang salah, yang bertujuan untuk menafikan terus hak orang Melayu yang terkandung dalam Perlembangaan,” katanya. – 11 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen