Projek asrama ditender semula, mana korupsinya, soal Guan Eng


Kamles Kumar

Lim Guan Eng mempersoalkan pertuduhan korupsi kepadanya, mendakwa syarikat yang dituduh memberinya rasuah tidak dapat projek berkaitan. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini menafikan menerima sebarang suapan untuk projek asrama pekerja malah syarikat yang akhirnya diberikan kontrak projek itu juga bukanlah syarikat yang didakwa memberinya rasuah sebanyak RM372,009.

Ahli Parlimen Bagan itu awal hari ini didakwa menyalah guna kuasa ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang dan pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk menerima suapan antara Ogos 2013 dan Mac 2016.

Lim didakwa bersama-sama isterinya, Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon di Mahkamah Sesyen Butterworth, kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Beliau bagaimanapun memberitahu wartawan yang tuduhan suapan didakwa diterimanya untuk projek asrama pekerja bernilai RM11.61 juta di Juru dan Batu Kawan adalah tidak benar, kerana projek itu yang didakwa diberikan kepada Magnificent Emblem Sdn Bhd ditender semula.

“Syarikat terlibat tidak dapat projek itu. Ia ditender semula. Syarikat lain dapat (projek),” katanya pada sidang media di pejabat kawasan Parlimennya.

Setiausaha agung DAP itu juga sekali lagi mengulangi yang beliau dan keluarga tidak memegang sebarang wang haram dan mencabar pihak berkuasa membuktikan sebaliknya.

“Mereka tak mampu tunjuk yang kami ada pegang duit rasuah. Mana korupsinya?” soal Lim.

Lim juga mendesak pihak berkuasa tidak memburu keluarganya dan hanya menjadikan beliau sebagai sasaran.

“Ini dendam politik kepada saya. Jika mahu bertindak, ambil tindakan kepada saya.

“Mengapa buru isteri saya yang tidak terlibat? Kami akan berjuang habis-habisan kerana mereka libatkan keluarga saya yang tak tahu apa-apa,” katanya.

Chew awal hari ini didakwa menerima suapan sebanyak RM372,009 yang masuk ke dalam akaun bank peribadinya untuk projek itu.

Lim mendakwa wang itu diterima Chew sebagai upah nasihat perundangan.

“Ini upah perundangan yang isteri saya terima sebagai peguam. Saya sangat marah. Awak mahu kenakan saya. Jangan kenakan diam,” katanya.

Semalam, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth untuk pertuduhan menerima suapan RM3.3 juta bagi penganugerahan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Jumaat lepas pula, Lim juga mengaku tidak bersalah di Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta 10% suapan daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan lebuh raya bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang. – 11 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen