BEKAS menteri undang-undang dan pemimpin DAP Zaid melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarganya berikutan ugutan Jamal Yunos dan ahli-ahli Umno.
“Saya bimbang keselamatan saya dan keluarga, dengan ugutan Jamal dan rakan-rakan Umno untuk memukul dengan tukul besar.
“Saya harap IGP (KPN) yang budiman dapat menjaga keselamatan kami,” kata Zaid di akaun Twitter beliau @zaidibrahim pada jam 2.20 tadi.
Saya bimbang keselamatan saya dan keluarga, dengan ugutan Jamal dan rakan rakan Umno untok memukul kepala dengan tukul besar. Saya harap IGP yang budiman dapat menjaga keselamatan kami #fb
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) December 8, 2017
Bekas ahli Parlimen Umno bagi Kota Bharu itu berkata beliau tidak fikir pemimpin Umno akan meredakan keadaan.
“Jadi kepada polis sajalah kami bergantung,” kata Zaid.
Saya tidak boleh mengharap pemimipin tertinggi Umno untuk mereda kan keadaan; jadi kapada Polis saja lah kami bergantung #fb
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) December 8, 2017
Jamal hari ini mengugut untuk memecahkan kepala Zaid menggunakan tukul. Rabu lalu, Jamal membakar dua patung Zaid di luar Perhimpunan Agung Umno Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sambil memegang sebuah tukul, Jamal berkata: “Hammer 5 kilo inilah yang akan pecahkan kepala Zaid Ibrahim jika undang-undang lambat (kenakan tindakan)”.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, Zaid lupa bagaimana untuk menghormati Sultan seperti mana yang diajar dalam Umno selepas bekas peguam itu memberi respon di Twitter mengenai temuramah Sultan Selangor dalam sebuah akhbar tempatan.
“Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah-titah baginda, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar,” tulis Zaid di Twitter. – 8 Disember, 2017.
Komen