Polis buat aduan kerana Asri Janggut dakwa nyawa terancam, kata menteri


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata polis membuat aduan pendedahan kegiatan mesin judi haram dan rokok seludup di Sungai Buloh kerana Asri Janggut mendakwa keselamatannya terancam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

POLIS membuat aduan mengenai pendedahan kegiatan mesin judi haram dan rokok seludup di Sungai Buloh kerana lelaki yang mendedahkannya Asri Abdul Hamid atau Asri Janggut turut mendakwa keselamatannya terancam, kata Hamzah Zainuddin.

Menteri Dalam Negeri berkata polis bukannya menafikan pendedahan mengenai jenayah yang tular di media sosial, sebaliknya kenyataan pengadu mengenai kemungkinan nyawanya diancam adalah serius.

“Tindakan (membuat aduan polis) terpaksa kita ambil kerana Asri sendiri ada menuduh (pendedahan) beliau nanti jadi masalah kepada dirinya.

“Jadi membuat tuduhan seperti itu, ia menimbulkan perkara lebih sulit kerana menuduh sesuatu tentang diri sendiri… keselamatan diri dia, keselamatan utama maka sebab itu pada mulanya polis terpaksa mengambil tindakan (membuat aduan),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Media semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar berkata pendedahan Asri bersifat fitnah dan menjatuhkan wibawa pasukan polis, dan satu laporan terhadapnya dibuat.

“Dalam video berkenaan juga didapati pemilik akaun berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pengadu merasakan video yang tular di media sosial berkenaan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej pengadu sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor,” katanya dalam sidang media pada Ahad.

Hamzah bercakap kepada wartawan hari ini selepas pertemuannya dengan Asri untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu yang kini sudah dibuka untuk siasatan oleh agensi anti rasuah dan pasukan polis.

Pertemuan itu berlangsung lebih kurang sejam, dan menyusul selepas pertemuan Asri dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador di Bukit Aman.

Hamzah kemudian meminta Asri membawanya meninjau kawasan di sekitar Sungai Buloh yang didakwa menjadi pusat perjudian mesin kuda.

Dalam pendedahannya melalui rakaman video yang dipaparkan di Facebook, pengasas perniagaan Hot Burger Malaysia itu mendakwa pihak berkuasa memejam sebelah mata terhadap kegiatan kedai judi dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

Beliau hairan kenapa aduannya kepada pihak polis sebelum ini tidak diambil tindakan, sebaliknya aduan beliau bocor kepada sindiket perjudian.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan nyawanya terancam susulan membuat pendedahan secara terbuka terhadap pihak berkuasa.

Abdul Hamid semalam berterima kasih kepada Asri kerana pendedahannya. Melalui laporan media semalam, Ketua Polis Negara juga menjanjikan tindakan tegas segera, termasuk ke atas pihak berkuasa yang bersekongkol.

Shafa’aton bagaimanapun menafikan dakwaan dalam pendedahan itu, yang dikatakannya memfitnah pihak berkuasa dan menjatuhkan reputasi pasukan polis. 

Beliau memaklumkan satu laporan polis juga dibuat terhadap Asri.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga mendakwa pendedahan Asri bersifat fitnah.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan ia sedang bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kemungkinan rasuah bagi melindungi kegiatan jenayah di sekitar Sungai Buloh.

Bukit Aman juga dipetik mengesahkan sudah memulakan siasatan. 

Pada masa sama Hamzah berkata tindakan tegas  akan diambil terhadap anggota polis yang didapati benar terkait dengan salah guna kuasa.

Lesen pembukaan kedai judi adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan bukan polis, katanya.

Justeru itu beliau mengharapkan mengharapkan kerjasama dengan PBT berhubung penguatkuasaa membanteras masalah tersebut.

“Kita buat secara lebih baik.. sebenarnya saya tak pernah dapat aduan. Kalau ada saya akan ambil tindakan tegas bukan hanya kepada orang melakukan, begitu juga dengan anggota polis di situ. 

“Kalau betul mereka terbabit kita akan ambil bagi jawatankuasa disiplin memastikan bahawa kalau boleh ambil tindakan ikut displinary action sepatutnya kita akan buat,” katanya.

Selain itu beliau menyarankan pendedah maklumat supaya salurkan secara terus kepadanya dan bukannya menularkannya di media sosial seperti yang dilakukan Asri. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen