Polis siasat dakwaan terhadap anggotanya di Sungai Buloh 


BUKIT Aman sedang menyiasat kemungkinan penglibatan anggota polis Sungai Buloh dalam melindungi pusat perjudian haram di daerah itu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Zamri Yahya memberitahu Malaysiakini, siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.

“Bukit Aman sedang menyiasat kemungkinan anggota polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh terlibat dalam melindungi pusat judi di kawasan itu.

“Kami masih cuba mengesahkan maklumat tertentu daripada pengadu. Kami mahu tahu maklumat spesifik seperti kepada siapa dia adukan hal itu di IPD Sungai Buloh dan JIPS Bukit Aman, seperti didakwanya.

“Maklumat ini penting bagi siasatan kami,” beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita berkenaan.

Sabtu lalu, sebuah video yang merakam aktiviti perjudian haram di Sungai Buloh yang dikongsikan seroang peniaga burger tular di media sosial. Beliau mendakwa premis judi berkenaan dilindungi pihak polis dan tiada tindakan diambil terhadap pemiliknya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan tiada tindakan terhadap aktiviti judi haram di daerah itu.

Beliau menyifatkan dakwaan yang dibuat pengguna Facebook itu sebagai tidak benar dan tidak berasas.

“Dua laporan polis dibuat oleh ketua polis daerah Sungai Buloh dan pegawai dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Tuduhan ini boleh mencemarkan imej pasukan polis terutamanya polis Selangor dalam usaha untuk membanteras perjudian haram di negeri ini khasnya di Sungai Buloh,” katanya pada satu sidang media pada Ahad.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya dalam satu kenyataan hari ini berkata, agensi antirasuah sedang bekerjasama dengan Bukit Aman berhubung perkara itu. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen