Penyokong Guan Eng berhimpun di mahkamah 


Kamles Kumar

Penyokong bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berhimpun di perkarangan mahkamah di Butterworth Pulau Pinang sebagai tanda solidariti mereka.– Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng kini berada di mahkamah di Buuterworth untuk menghadapi pertuduhan rasuah buat kali kedua berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Beliau yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang itu tiba di mahkamah pada pukul 8.50 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Lim turut diiringi peguamnya, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer. 

Turut hadir isterinya Betty Chew serta anak-anaknya.

Kira-kira 50 penyokong berhimpun di perkarangan mahkamah sebagai tanda solidariti terhadap Lim. Mereka memegang sepanduk bertulis “Solidariti bersama Lim Guan Eng” sambil melaungkan “Bebaskan Guan Eng”.

Antara pemimpin DAP yang turut dilihat berada di perkarangan mahkamah adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy dan Exco Kerajaan Negeri Phee Boon Poh. 

Sedikit kekecohan berlaku apabila seorang lelaki tidak dikenali meluahkan rasa marah terhadap Lim kerana didakwa mencuri hak rakyat Pulau Pinang. 

Lelaki terbabit kemudiannya segera diiringi anggota polis bagi mengelakkan kekecohan berlarutan. 

Jumaat lalu, Lim mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta rasuah berupa 10% keuntungan daripada projek lebuh raya dan terowong dasar laut Pulau Pinag yang bernilai RM6.3 bilion. 

Beliau didakwa di mahkamah khas rasuah di Kuala Lumpur di hadapan Hakim Azura Alwi.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Mid Valley Kuala Lumpur ketika masih memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang. 

Beliau didakwa meminta rasuah itu daripada pengarah eksekutif kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang merupakan syarikat dilantik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan projek berkenaan. – 10 Ogos, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen