PKR Batu Pahat mahu calon PRU15 anak tempatan


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda PKR Batu Pahat Mohammad Salmin Mohammad berkata beliau yakin calon anak tempatan tidak akan mengkhianati mandat rakyat.– Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020

JENTERA dan penyokong PKR di Batu Pahat, Johor, yang wakilnya melompat parti pada hujung Februari lalu, mula menyusun gerakan untuk memastikan calon Perikatan Nasional (PN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mahu Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon anak tempatan bertanding di Batu Pahat dalam Pilihan Raya Umum ke-15, dan bukannya lagi calon payung terjun yang kemudiannya mengkhianati parti.

Mereka yakin calon anak tempatan tidak akan sanggup mengkhianati pengundi yang memberi mandat, dan dengan itu kemenangan rakyat “tidak akan dicuri.”

“Kita tidak mahu lagi calon import. Kita hendak calon akan datang mesti anak jati Batu Pahat… orang tempatan,” kata Ketua Pemuda PKR Batu Pahat Mohammad Salmin Mohammad.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight pendirian itu sudah diputuskan oleh pimpinan akar umbi di Batu Pahat.

Dari Pulau Pinang balik ke Johor

Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnoon, 60, lahir di Muar tetapi menempa nama bukan di Johor sebaliknya di Pulau Pinang. Lulusan kejuruteraan dan pengurusan perniagaan itu menetap dan bekerja di Pulau Pinang sejak 1984, sejak berumur 24 tahun.

Malah beliau membina namanya dalam politik juga di Pulau Pinang.

Selepas Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998, Rashid mengetuai Gerak Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak), sebuah badan masyarakat yang menjadi asas kepada penubuhan parti politik yang hari dikenali sebagai PKR.

Beliau antara pengasas PKR Pulau Pinang dan pernah memegang jawatan kanan sebagai naib pengerusi parti negeri.

Dalam pilihan raya umum 2013, Rashid menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak dan kemudian dilantik sebagai timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang.

Beliau tidak mempertahankan kerusi itu dalam PRU14 sebaliknya dihantar balik ke Johor, bertanding kawasan Parlimen Batu Pahat.

Selepas menang Batu Pahat, beliau dipilih sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat oleh kerajaan PH pada Julai 2018.

Beliau kekal memegang jawatan itu sehingga sekarang walaupun PN yang mengambil alih kerajaan pada Mac lalu menggantikan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dengan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun.

Rata-rata pengundi mahu anak tempatan dicalonkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 kerana bimbang dikhianati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020

Seorang lagi timbalan speaker Nga Kor Ming dari DAP letak jawatan selepas ada usul untuk menggugurkannya. Beliau digantikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Rashid adalah satu-satunya anggota kumpulan 10 bekas ahli Parlimen PKR yang diketuai bekas timbalan presiden yang dipecat Mohamed Azmin Ali yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Selepas keluar PKR, Rashid mendakwa 500 ahli parti turut bersama-samanya kerana kecewa dengan keputusan pimpinan negeri mengambil alih pentadbiran cabang Batu Pahat dengan restu pimpinan pusat.

“Kononnya 500 orang ikut keluar itu berita tidak benar. Kami hanya hilang dua ketua ranting sahaja… ahli parti tidak ikut,” kata seorang pemimpin akar umbi PKR kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.

Katanya, PKR Batu Pahat tidak terjejas dengan tindakan Rashid keluar parti malah sebaliknya mendakwa wakil rakyat itu sekarang yang sedang menyusun gerak kerja untuk bertanding di kerusi negeri.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, Rashid dipertimbangkan untuk bertanding di DUN Serom (dalam kawasan Parlimen Ledang) atau Bukit Gambir (dalam kawasan Parlimen Pagoh).

Kerusi rebutan

The Malaysian Insight juga difahamkan kerusi Parlimen Parlimen Batu Pahat diintai oleh banyak pihak termasuk dalam kalangan komponen PH kerana dianggap antara kawasan paling selamat di Johor.

Dalam PRU14, Rashid menang dengan majoriti 17,894 mengatasi calon Barisan Nasional Haliza Abdullah dari Umno dan calon PAS Dr Mahfodz Mohamed.

Lebih 90% undi kemenangan Rashid pula datangnya dari satu daripada tiga kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen itu, iaitu Penggaram yang dimenangi oleh Gan Peng Heng dari DAP yang menang dengan majoriti 17,205 undi.

Khairuddin A Rahim dari Amanah menang DUN Senggarang dengan kelebihan 809 undi, manakala Umno menang DUN Rengit dengan majoriti 4,172 undi.

Sama seperti pertandingan di kawasan parlimen, ketiga-tiga kerusi DUN itu melibatkan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan PAS. Semua calon PAS bagi kerusi Parlimen Batu Pahat dan tiga kerusi negeri di bawahnya hilang wang pertaruhan.

Dalam pilihan raya umum akan datang, PKR akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya, kata pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, walaupun nanti tidak dibantu oleh jentera kerajaan dalam kempen.

“Walaupun tanpa bantuan jentera kerajaan, cabaran itu bagus, supaya kita bekerja sendiri dan sediakan kekuatan.

“Ramai yang kecewa (Rashid lompat parti) tapi tak mengapa, Rashid dah buat keputusan begitu, kita pula kena kerja kuat pertahankan kerusi itu,” katanya lagi. – 10 Ogos, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen