Saingan meningkat lepas PKP, pendapatan pekerja gig makin kurang


Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim Desmond Davidson

Penghantar makanan semakin ramai tetapi tempahan berkurangan kerana orang ramai kini boleh keluar selepas PKP tamat tempoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

SEJAK tujuh tahun lalu, pekerjaan Mohd Adam Muharin sebagai pemandu e-hailing memberi kebebasan kepadanya untuk bekerja sendiri dan mencari rezeki buat keluarga.

Namun kini bapa berusia 36 tahun itu kini terpaksa mencari kerja yang menjanjikan pendapatan tetap, simpanan persaraan, perlindungan sosial dan kelegaan.

Adam berkata pengalaman tahun ini paling buruk sepanjang menjadi pemandu e-hailing dengan platform Grab dan sebelumnya 16 tahun sebagai pemandu teksi.

“Masalahnya orang betul-betul takut masuk kereta yang digunakan orang tidak dikenali kerana bimbang dijangkiti Covid-19 yang boleh membunuh.

“Dan lagi, ramai orang bekerja dari rumah dan hanya ke pejabat sekali seminggu, itu juga mengurangkan jumlah penumpang,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika menunggu tempahan di Shah Alam.

Pengalamannya itu serupa dengan pemandu e-hailing lain di Lembah Kelang, Perak dan Malaysia Timur.

Sektor ekonomi gig itu kini menjadi pendapatan utama individu yang kehilangan pekerjaan dengan pendapatan tetap.

Penunggang motosikal dengan platform penghantaran makanan juga mengadu pendapatan mereka merosot sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan pada Jun.

Pada masa itu juga, ramai menceburi bidang tersebut apabila ramai diberhentikan kerja semasa tempoh PKP.

Salah satu penyedia platform tersebut, Food Panda memberitahu The Malaysian Insight, seramai 20,000 penunggang baharu menyertai perkhidmatan itu antara Mac dan Julai.

Grab Malaysia pula berkata, seramai 10,000 pemandu baharu untuk khidmat e-hailing dan penghantaran menyertai syarikat itu antara Mac dan Mei.

Grab menggerakkan 100,000 pemandu sepanjang PKP, tetapi masalah timbul apabila PKP dilonggarkan dan tempahan makin berkurangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

Tinjauan The Malaysian Insight ke atas 10 pemandu mendapati, kesemuanya kecuali dua sahaja mengalami kemerosotan pendapatan mendadak.

Ada di antaranya hilang pendapatan sehingga 50% walaupun selepas kawalan PKP dilonggarkan dan sektor ekonomi kembali aktif bawah PKP Pemulihan.

Seorang lagi pemandu Grab mengadu nasib sama seperti Adam. Andy Alistair di Kuching, Sarawak berkata beliau kini beralih daripada menghantaran pelanggan kepada penghantaran barangan.

Ini memandangkan kemunculan banyak kes Covid-19 di Kuching menyebabkan ramai pelanggan tidak berani menggunakan pengangkutan awam dan kenderaan sewa, kata Alistir, 57.

“Apabila PKP dikuatkuasa pada Mac, pendapatan saya turun sekitar 70%. Tapi sekarang dalam tempoh PKPP masih lagi sukar cari wang. Orang tidak keluar kerana takut.

“Sebelum pandemik, saya boleh dapat antara RM250 hingga RM300 sehari. Sekarang nak dapat RM50 pun susah.

“Pemandu juga jadi paranoid. Ramai yang beralih kepada penghantaran express makanan dan barangan, yang lebih selamat kerana kurang kontak dengan manusia,” katanya.

P Barath yang menjadi pemandu e-hailing sejak tiga tahun lalu di Ipoh memerhatikan jumlah pemandu khidmat meningkat dalam tempoh itu.

Namun dengan peningkatan saingan tersebut, beliau mampu mendapat pelanggan di bandar tersebut untuk meraih antara RM120 hingga RM150 sehari sebelum pandemik melanda.

Walaupun beliau bekerja untuk tempoh lebih lama sekarang, lelaki 30 tahun itu kini hanya mampu mendapat antara RM50 hingga RM80 sehari dan bersaing dengan lebih ramai pemandu.

“Memang kerja lebih untuk dapat lebih tapi tak berguna sebab pemandu pun banyak dan berlebihan berbanding permintaan yang kurang. Sebab PKP ini, masih ramai lagi pelanggan belum keluar.”

Pemandu e-hailing menerima RM500 dari Putrajaya sebagai bantuan apabila PKP menyebabkan kebanyakan sektor ekonomi dilarang beroperasi antara 18 Mac hingga 12 Mei.

Keadaan itu mengurangkan jumlah penumpang tetapi pada masa sama, sektor penghantaran makanan berkembang semasa PKP kerana ramai tidak dapat keluar rumah untuk membeli makanan.

Penghantar makanan adalah antara kumpulan pekerja barisan hadapan sepanjang PKP, membolehkan urusan berjalan dengan lancar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

Sepanjang tempoh PKPR, penghantar makanan Abdul Hadi Abdul Hamid berkata beliau meraih sehingga RM200 sehari dengan Grab Malaysia untuk penghantaran sekitar Lembah Kelang.

Namun hari ini, beliau hanya mendapat lebih RM100 sehari sahaja untuk pekerjaan sama selama tujuh jam sehari.

“Susah hendak dapat RM200 sehari selepas PKP tetapi saya masih bersyukur dengan pendapatan saya,” kata Abdul Hadi, 22, yang diberhentikan kerja apabila kilangnya ditutup.

Rakannya Zayd Syed Ahmad pula berkata pendapatan tidak banyak berkurang sewaktu dan selepas PKP.

“Kita dibayar mengikut jarak perjalanan. Jika lebih jauh, lebih banyak kita dapat. Pengurangan pendapatan itu saya tengok tidak berapa besar,” kata pelajar kewangan Islam berusia 19 tahun itu.

Penunggang untuk perkhidmatan Food Panda juga melihat peningkatan tempahan sewaktu PKP yang kemudiannya berkurangan sewaktu PKPP.

Nik Fauzi Hanif, 46, berkata beliau meraih antara RM90 hingga RM120 sehari sewaktu PKP yang kemudiannya jatuh mendadak kepada antara RM50 hingga RM60 sewaktu PKPP.

“Sewaktu PKP, tempahan baharu terus masuk sebaik selesai penghantaran. Tetapi sekarang kita perlu tunggu untuk dapat tempahan baharu.

“Penunggang pula semakin ramai setiap hari. Kita lihat penunggang baharu masuk dalam platform tetapi jumlah tempahan makanan tetap sama atau berkurangan sebab sekarang orang boleh keluar untuk makan atau tempah bawa pulang sendiri,” katanya.

Seorang lagi penunggang penghantar barang di Perlis, Muhamad Irfan Nafis Mohamad Rafizi, berkata kini lebih sukar kerana lebih ramai menyertai Food Panda atau Grab Malaysia di

Di kawasannya itu, beliau mendapat upah antara RM3 hingga RM6 untuk menghantar makanan atau barangan dari penjaja dan peniaga yang tidak mampu menggunakan platform digital.

“Sebelum PKP saya dapat sekitar RM40 sehari, ini berkurangan kepada RM20 semasa PKP. Tetapi selepas PKP saya boleh dapat antara RM30 hingga RM50 sehari. Tapi lebih sukar sekarang.”

Katanya beliau kini terpaksa bersaing dengan lebih ramai penunggang yang menggunakan pelbagai jenis platform,” kata pemuda 21 tahun dari Kangar itu.

Penunggang Food Panda Nik Fauzi berkata platform penghantaran seperti Bungkusit, Easyeats dan Lalamove kini mengurangkan pendapatan rakan-rakannya di Lembah Kelang yang padat dengan penduduk.

Apabila jumlah penunggang meningkat, pendapatan yang diterima masing-masing semakin kurang kerana jumlahnya tidak bertambah, katanya. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen