30,000 daftar jadi pekerja e-hailing sepanjang PKP


Sheridan Mahavera

Antara bulan Mac dan Julai, lebih dari 20,000 penunggang baru bergabung dengan Foodpanda Rider. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

GRAB Malaysia dan Food Panda menambah 30,000 pemandu dan penunggang baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara Mac dan Mei yang menyebabkan sebahagian besar ekonomi lumpuh.

Peningkatan individu yang mendaftar untuk e-hailing bertepatan dengan kenaikan kadar pengangguran kepada sebanyak 5.3% pada bulan Mei berbanding 3.9% pada bulan Mac.

Menurut Jabatan Statistik, lebih dari 826,000 individu menganggur ketika PKP yang berakhir pada 12 Mei dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Syarikat penghantaran makanan Food Panda menyaksikan jumlah penunggang baharu meningkat dua kali ganda antara bulan Mac dan Jun berbanding bulan sebelumnya.

“Antara bulan Mac dan Julai, lebih dari 20,000 penunggang baru yang bergabung dengan Foodpanda Rider,” kata jurucakap syarikat kepada The Malaysian Insight.

Pada masa yang sama, Grab Malaysia menandatangani 10,000 pemandu dan penunggang baharu dalam tempoh itu, kata jurucakap syarikat.

Grab Malaysia berkata pemandu dan penunggangnya memperoleh tip sebanyak RM2.4 juta daripada pelanggan.

Walaupun jumlah pemandu dan penunggang meningkat semasa PKP, tinjauan di Lembah Klang dan Malaysia Timur mendapati bahawa pendapatan mereka menurun setelah Malaysia mengubah PKP ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun.

PKPP menyaksikan ekonomi Malaysia dibuka semula dan restoran mula menyambung semula operasi perkhidmatan makanan di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pesanan makanan bagaimanapun menurun semasa PKPP dan para penunggang penghantaran pesanan memberitahu The Malaysian Insight bahawa persaingan untuk penghantaran semakin meningkat apabila semakin ramai orang yang diberhentikan kerja mula menyertai perkhidmatan penghantaran sebagai penunggang.

Pengangguran meningkat ketika PKP dilaksana, menyebabkan ramai mengambil keputusan menjadi penghantar makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

Penunggang Food Panda seperti Arif Mohamad dari Shah Alam berkata bahawa dia mendapat lebih dari 20 pesanan penghantaran semasa PKP ketika dia menjadi penghantar makanan setelah diberhentikan pada bulan Mac.

“Saya dapat menjana lebih dari RM100 sehari semasa PKP. Tetapi setelah PKPP dan restoran mula dibuka, pendapatan saya menurun antara RM80 hingga RM100. Sekarang dah ada lebih banyak penunggang berbanding sebelum ini,” kata bekas pekerja gudang berusia 24 tahun itu.

Food Panda bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan mengenai jumlah pesanan dan penghantaran semasa PKP dan PKPP.

Ia juga enggan memberikan anggaran pendapatan purata penunggang mereka semasa fasa-fasa PKP.

Grab Malaysia juga tidak dapat memberikan anggaran tepat mengenai pendapatan yang diperolehi pemandu dan penunggangnya, namun syarikat itu berkata ia menyaksikan kenaikan 30% dalam pesanan penghantaran antara bulan Mac hingga Mei untuk perkhidmatan Food (makanan), Mart (barangan keperluan) dan Express (pesanan laju).

Disebabkan PKP memaksa kebanyakan pekerja untuk duduk di rumah, Grab Malaysia melihat perniagaan yang pesat bagi perkhidmatan e-hailing penumpang.

“Kami menggerakkan lebih dari 100,000 pemandu untuk menyokong penghantaran dan memberi mereka sumber pendapatan tambahan kerana perniagaan pengangkutan kami terjejas teruk, menurun sebanyak 90%,” kata jurucakap Grab Malaysia.

Pemandu Grab, Mohamad Azahari Sarman berkata PKP yang semakin longgar ketika ini menyukarkannya untuk menghasilkan wang walaupun RM50 sehari. Ia adalah jumlah yang sama dengan yang apa yang dia bayar bagi menyewa kereta penumpang dari Grab.

“Sebelum PKP, pendapatan bersih saya rata-rata antara RM100 - 150 tolak petrol, sewa kereta. Kalau saya kerja keras sikit, saya boleh memperoleh RM200 sehari,” kata lelaki berusia 44 tahun itu yang memandu di lembah Klang sejak dua tahun lalu.

Grab menggerakkan 100,000 pemandu sepanjang PKP bagi membolehkan penghantaran dilakukan dengan lancar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

Ketika bilangan penumpang menurun, Grab Malaysia mengarahkan Azahari untuk membuat penghantaran makanan dan barang yang membantunya membayar sewa kereta dan keperluan harian keluarganya.

Grab Malaysia berkata pihaknya telah memberikan RM300 kepada pemandu dan penunggangnya dari dana bantuan rakan kongsi demi membantu mereka menampung perbelanjaan isi rumah setiap hari.

Dana ini adalah antara 11 inisiatif yang dilancarkan Grab Malaysia semasa PKP bagi menyokong perniagaan kecil, pemandu dan rakan penghantaran, barisan hadapan, serta komuniti yang terkena jangkitan Covid-19.

Grab Malaysia berkata syarikat itu membelanjakan AS$40 juta untuk membiayai inisiatif ini di Malaysia dan bantuan lain dari Asia Tenggara.

Walaupun PKPP telah membuka semula ekonomi, pemandu seperti Azahari berkata penumpang masih belum mula keluar dari rumah.

“Pendapatan saya lebih baik daripada waktu PKP tetapi tidak sebaik sebelum PKP. Orang ramai masih takut dengan Covid-19. Saya harus cari sumber pendapatan lain kerana saya tidak bergantung hanya pada penumpang. “

Jurucakap Grab Malaysia berkata bahawa pihaknya belum mengumpulkan data pada bulan Jun dan Julai namun ia menganggarkan bahawa permintaan untuk perkhidmatan tertentu seperti e-hailing penumpang akan terus lembab.

“Dengan SOP yang ketat dan penjarakan sosial, permintaan untuk pengangkutan kemungkinan tidak akan kembali ke tahap pra Covid-19 dalam jangka masa pendek”. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen