PEMIMPIN DAP Tony Pua berharap Pakatan Harapan (PH) akan membentuk pakatan dengan parti baharu Dr Mahathir Mohamad bagi menyaingi Perikatan Nasional.
Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata PH mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana bersatu padu.
“Jika kita tidak bersatu padu, peluang untuk menang adalah rendah. Jadi paling penting sekarang adalah untuk melihat siapa musuh kita,” katanya dalam sesi siaran langsung menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata walaupun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim berbeza parti, DAP mampu mencari titik persamaan dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak dalam satu pakatan.
Beliau berkata walaupun ada kalangan pihak enggan mengiktirah sumbangan Dr Mahathir dalam membantu kemenangan PH, sukar dinafikan bahawa bekas perdana menteri itu mempunyai peranan yang penting.
“Kita tidak boleh kata beliau tidak menyumbang. Walaupun kita mendapat 5% undi orang Melayu sudah cukup.
“Jadi kita perlu melihat dari sudut ini dan mencari asas yang sama. Ada kekurangan dalam pakatan sebelum ini dan kita perlu membaikinya agar menjadi lebih baik.”
Dr Mahathir mengumumkan pembentukan parti baharu pada Jumaat lalu sebagai usaha menumbangkan kerajaan Perikatan.
Nama parti itu masih belum diputuskan dan mereka perlu menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Pemimpin berusia 95 tahun itu berkata parti baharu amat diperlukan kerana semua parti Melayu yang ada sudah lari daripada perjuangan asal. – 9 Ogos, 2020.
Komen