.jpg)
SEWAKTU Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Johor menjadi perhatian ramai.
Sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) tumbang di Johor, Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Kerajaan Persekutuan. Itulah yang berlaku dalam PRU14.
Setelah kerajaan PH tumbang Februari lalu, Johor diterajui Umno. Walaupun Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan diterajui Presiden PPBM, realiti yang berlaku di Johor adalah sebaliknya.
Meskipun beberapa Adun Bersatu diangkat menjadi exco dalam kerajaan negeri, hakikat di peringkat akar umbi adalah indah khabar dari rupa. Bersatu ibarat anak tiri sahaja. Mereka dianggap pesaing Umno-PAS.
Di Johor, kerjasama akar umbi Umno-PAS yang membentuk Muafakat Nasional dengan Bersatu seolah-olah tidak wujud.
Jika disemak, tidak ada gerak kerja parti yang melibatkan PPBM di peringkat bahagian apatah lagi cawangan.
Ambil contoh di bahagian Ayer Hitam semasa program AidilAdha. Menteri Besar Hasni Mohammad turun ke DUN Semarang dan melaksanakan program Aidiladha bersama akar umbi Umno dan PAS sahaja. Bersatu tidak dijemput. Pada masa yang sama, Bersatu pula menjalankan aktiviti secara berasingan.
PN hanya wujud di Johor ketika majlis rasmi kerajaan. Pada ketika ini sahajalah, pemimpin Umbo dan Bersatu dilihat duduk semeja dan bersama-sama dalam acara.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Bersatu tidak dilayan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam kerajaan PN Johor meskipun presidennya menjawat jawatan nombor satu di peringkat persekutuan.
Bersatu gagal memainkan peranannya secara maksimum kecuali sekadar menjadi tongkat demi mengukuhkan kerajaan pimpinan Umno di Johor.
Pengumuman oleh Dr Mahathir Mohamad dua hari lalu untuk membentuk parti baharu boleh memberikan opsyen kepada Bersatu Johor.
Opsyen sama ada terus menjadi bidak mengukuhkan kerajaan yang diterajui Umno atau berperanan mengembalikan kerajaan pilihan rakyat.
Sekiranya Bersatu Johor membuat keputusan menyokong atau menyertai parti baharu Dr Mahathir dan berkerjasama semula dengan PH di negeri ini, mandat rakyat sepertimana yang diamanahkan dalam PRU14 lalu dapat dikembalikan semula dan mereka boleh kembali memainkan peranan lebih signifikan dalam kerajaan negeri.
Pun begitu, hal ini tergantung pada kebijaksanaan dan iltizam rakan-rakan Bersatu Johor untuk memilih.
Sama ada terus menikus di bawah kuasa Umno Johor atau mengambil langkah berani bermaruah untuk menjunjung mandat yang telah diamanahkan oleh rakyat. – 9 Ogos, 2020.
* Sheikh Umar Bagharib Ali merupakan Adun Paloh, Ketua Pemuda DAP Johor dan Setiausaha Publisiti DAP Johor
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen