INDUSTRI pelancongan masih perlahan dengan hotel di Lembah Klang hanya mencatatkan 20% kadar tetamu menginap, kata pemain industri.
Purata kadar menginap di negara ini berada pada 25%, kebanyakannya disebabkan tiada kehadiran pelancong asing yang masih tidak dapat melancong akibat penguatkuasaan penutupan sempadan bagi menyekat pandemik Covid-19.
Mereka berkata sementara hotel bajet di beberapa bandar utama mungkin ditutup akibat kurang tetamu, tetapi hotel di Kelantan dan Terengganu agak penuh apabila pelancong tempatan bertumpu ke pantai timur.
CEO Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata tempahan hotel pada mulanya melonjak untuk percutian hujung minggu di resort tempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di mana pada fasa ini, perjalanan rentas negeri dibenarkan.
Bagaimanapun, berdasarkan data terbaru MAH, kadar tetamu menginap hanya 25%. Yap berkata ini kerana kebergantungan kepada pelancong asing.
“Kebanyakan bandar dan negeri utama mengalami kadar menginap yang rendah kerana ia bergantung kepada pelancong asing.
“Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Johor dan Sabah khususnya, purata antara 12% dan 20%,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tetapi pada Julai, beliau berkata negeri seperti Terengganu dan Kelantan yang paling banyak menarik pelancong asing dengan kadar menginap sekitar 70% hingga 75%. Pulau Pinang pula merekodkan 43% dan Malaysia timur pada 26%.
“Sejak kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik di bawah PKPP, industri melihat tempahan mulai ada secara perlahan, walaupun pada awalnya meramalkan permintaan akan banyak daripada korporat dan perniagaan, selain pasangan,” kata Yap.
Beliau berkata MAH mendapati tempahan bilik banyak dibuat di destinasi hotel yang boleh diakses dengan kenderaan.
Katanya, ini susulan pelancong mengelak daripada menaiki pesawat.
Katanya, MAH pada masa ini sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menawarkan promosi kepada pelancong tempatan.
“Pada masa sama, sebagai penghargaan kepada barisan hadapan Covid-19 di Malaysia, MAH dan ahlinya melanjutkan harga istimewa dan pakej untuk hero negara kita dalam merancang percutian bersama keluarga,” katanya.
MAH juga sedang meneroka kerjasama lain seperti bersama Astro dan merangka program insentif istimewa bersama Tourism Malaysia untuk melonjak pelancongan domestik, katanya. – 12 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen