Parti Dr Mahathir hadapi cabaran besar


Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim Noor Azam Shairi

Ibrahim Suffian berkata parti baharu pimpinan Dr Mahathir bakal berdepan saingan sengit parti berasaskan Melayu lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020.

PARTI baharu Dr Mahathir Mohamad bakal berdepan saingan sengit menentang begitu banyak parti Melayu sekiranya tidak bergandingan dengan gabungan Pakatan Harapan, kata penganalisis.

Apatah lagi, parti yang belum dinamakan itu tidak mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu yang membentuk satu pertiga daripada keseluruhan pengundi, kata penganalisis ini.

Namun mereka berpendapat pengaruh dan status Dr Mahathir parti masih mampu melunturkan sokongan daripada kelompok konservatif Melayu, terutama dalam kalangan pengundi lebih tua.

Ini kerana pengaruh Dr Mahathir mampu membuat perubahan politik besar walau bergerak tanpa parti, seperti sewaktu berkempen menentang bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman.

Sekiranya gerakan Dr Mahathir kali ini mampu bekerjasama dengan Pakatan dan Parti Warisan Sabah, gabungan pembangkang itu mampu meraih semula sokongan pengundi Melayu.

Oleh itu pengaruhnya tidak boleh diketepikan, kata pengkaji Ibrahim Suffian.

Jelasnya, Dr Mahathir mempunyai pengalaman luas, dan ramai bersimpati dan kagum kepadanya termasuk dalam kalangan bekas pemimpin.

“Tarikan ini melampaui lapisan politik waktu ini, di mana ramai yang tidak menyukainya,” kata pengarah eksekutif badan kajian Merdeka Centre itu.

Penubuhan parti baharu itu pula muncul sewaktu rakyat sedang pulih daripada pandemik Covid-19, perubahan kerajaan mendadak pada Februari dan kegawatan ekonomi, katanya.

Ibrahim melihat, faktor ini akan mempengaruhi sokongan ke atas parti baharu Dr Mahathir, ke atas Pakatan dan juga kepada parti kerajaan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan tidak lama lagi.

“Dalam tempoh singkat, parti itu tidak akan mempunyai impak dari segi organisasi,” kata Ibrahim.

Jelasnya, parti itu tidak mempunyai struktur, sumber dan anggota untuk menggerakkan jentera pilihan raya yang berkesan.

“Namun parti itu akan mempengaruhi jiwa orang ramai. Sebab akhirnya, Dr Mahathir mempunyai kepintaran dan ketabahan untuk mencapai matlamatnya dan satu-satunya cabaran hanyalah usianya.”

Penubuhan parti baharu itu, seperti diumumkan Dr Mahathir pada Jumaat, bertujuan untuk mempertahan perjuangan asal Bersatu bagi menentang rasuah.

Nama dan lambang parti itu belum diumumkan dan menurut Dr Mahathir ia kekal bebas daripada Perikatan Nasional mahupun Pakatan.

Beliau menubuhkan parti itu selepas gagal menguasai semula Bersatu, yang menurutnya dirampas oleh Muhyiddin Yassin sewaktu parti sedang bergelut dengan pemilihan parti sulungnya.

Pemilihan itu juga berlangsung selepas gabungan parti tersebut keluar dari Pakatan Haram, menyebabkan gabungan parti itu gagal menguasai Putrajaya.

Muhyiddin meninggalkan gabungan itu bersama kira-kira 30 orang ahli parlimen dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno, PAS dan gabungan parti Sarawak, GPS.

Penganalisis politik USM, Dr Azmil Tayeb pula masih sangsi sekiranya perwatatakan Dr Mahathir itu dapat menarik sokongan kepada parti baharu itu.

“Sulit sekali buat parti ini untuk menarik pengundi baru kerana pengundi sudah sarat dengan parti pilihan masing-masing. Untuk pengundi Melayu sendiri, sudah ada Umno, PAS, Bersatu, Amanah dan PKR.

“Saya tidak yakin parti baru Dr Mahathir ini mampu bersaing untuk sokongan pengundi Melayu dalam arena yang sesak ini,” katanya.

Tambahan pula, parti seperti Umno dan PAS sudah lama berakar umbi dalam kalangan pengundi Melayu, kata Azmil.

Oleh itu, beliau menjangka parti baharu itu tidak dapat memberi kesan besar dalam pilihan raya tanpa jentera dan anggota yang cukup.

Seorang lagi penganalisis, Prof Awang Azman Pawi pula berpendapat parti Dr Mahathir perlu lebih menyerlah berbanding parti Melayu kecil seperti Berjasa dan Putra.

Katanya, parti Dr Mahathir itu mempunyai kelebihan berbanding parti lain disebabkan personaliti dan enam ahli Parlimen bersamanya.

“Tapi adakah ini memadai untuk menyerlah berbanding parti lain?

“Ia akan mendapat lebih keuntungan jika bergabung dengan Pakatan Harapan. Jika tidak, ia akan hanyut dalam lautan parti berasaskan Melayu.

“Orang Melayu lebih selesa mengundi sama ada Umno, PAS atau Amanah. Ada yang akan mengundi PKR. Parti baharu Mahathir lebih kepada personaliti dan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri semula,” katanya.

Selain itu, gabungan dengan Pakatan juga akan memastikan undi kepada pembangkang tidak berpecah parti berasingan, kata Awang Azman.

Mengulas perkara sama, Ibrahim dari Merdeka Center pula berkata Perikatan dan Muhyiddin masih mempunyai kelebihan di atas keupayaan menangani pandemik, namun sikap pengundi boleh berubah.

“Dalam tempoh beberapa bulan, jika Dr Mahathir dan Pakatan boleh bekerjasama, mereka boleh meraih semula undi Melayu konservatif yang beralih kepada Perikatan.” – 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen