TINDAKAN sekumpulan lelaki yang leka menghisap dadah untuk melepaskan diri berjaya dipatahkan oleh polis dalam Ops Tapis yang dijalankan di kawasan sarang penagihan dadah di Kuala Muda, di Kepala Batas semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang itu, seramai 31 lelaki warga Thai yang bertempiaran lari ke kawasan hutan dan paya, berjaya ditahan dalam operasi bermula pukul 6 pagi.
“Polis menahan semua lelaki berusia 20 hingga 62 tahun dan ujian air kencing mendapati mereka yang bekerja sebagai nelayan, buruh serta bekerja sendiri itu positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di lokasi penagihan dadah itu polis merampas 76.4 gram (g) syabu, heroin (16.1g), ganja (0.3g) serta 19 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM9,000 dan polis percaya semua bahan terlarang tersebut adalah milik pengedar dadah untuk dijual di situ.
Noorzainy berkata dua daripada suspek adalah pengedar dadah dan kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Polis sentiasa mengambil tindakan dan menjalankan operasi narkotik berterusan secara agresif ke atas penagih-penagih dan pengedar-pengedar dadah yang berada di daerah itu. Saya juga meminta kerjasama orang ramai untuk membantu polis dengan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan tersebut,” katanya. – Bernama, 8 Ogos, 2020.
Komen