24 individu termasuk wanita ditahan dalam Op Sarang 


POLIS menahan 23 lelaki serta seorang wanita berumur antara 29 dan 44 tahun, dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah kawasan yang dijadikan sarang penagih dadah di Felda Palong 5, Gemas, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Mohd Khairiel Mohd Arif berkata kesemua mereka ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, IPD Seremban dan Nilai dalam Ops Sarang selama lapan jam bermula dari pukul 6.00 pagi.

Beliau berkata seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berumur 44 dan 29 tahun dipercayai pengedar dadah, ditahan dalam serbuan di sarang penagih yang dikenali sebagai Pot Pokok Kekabu itu, yang dipercayai mula aktif menjadi tumpuan penagih di kawasan berkenaan sejak kira-kira dua bulan lepas.

“Sejumlah 18.66 gram heroin, 25.0 gram syabu dan tiga gram Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM4,541.40 berjaya dirampas dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan di Jempol, hari ini.

Mohd Khairiel berkata hasil saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin dan methamphetamine, selain turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dua daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala baki 22 orang lagi disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” katanya. – Bernama, 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen