Polis tahan suami isteri, dadah RM80,000 dirampas 


POLIS Sabah menahan sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah dan merampas dadah jenis syabu seberat 2,020 gram bernilai lebih RM80,000 di Jalan  Lokawi, Putatan dekat Kota Kinabalu pada Rabu lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Mazli Mazlan berkata pasangan berusia 43 dan 34 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan yang diparkir di tepi jalan pada kira-kira 4.45 petang.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan mendapati terdapat satu plastik hitam yang mengandungi dua bungkusan plastik warna perak bertulis ‘savoring tea’. Kedua-dua bungkusan berkenaan kemudian dibuka dan polis menemukan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2,020 gram,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati dadah itu adalah untuk pasaran di sekitar Kota Kinabalu dan dipercayai diperoleh daripada seorang lelaki yang kini berada di Labuan.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,” katanya.

Menurutnya pasangan itu direman selama seminggu sehingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen