Isu Laut China Selatan mesti selesai berdasarkan undang-undang antarabangsa, kata menteri 


Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata Laut China Selatan mesti kekal aman dan menjadi laluan perdagangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

ISU berkaitan dengan Laut China Selatan mesti  diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip-prinsip yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata demikian menerusi akaun Twitternya pada Khamis, perkara itu dibincangkan antaranya dengan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menerusi perbualan telefon pada hari yang sama.

Hishammuddin berkata Laut China Selatan mesti kekal aman dan menjadi laluan perdagangan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jurucakap Jabatan Negara AS Cale Brown,  dalam satu kenyataan di laman webnya berkata, Pompeo dan Hishammuddin juga membincangkan mengenai kedua-dua negara yang bersama-sama menghormati undang-undang antarabangsa dan maritim berdasarkan peraturan di Laut China Selatan.

“Perbincangan telefon yang produktif hari ini (Khamis) dengan Menteri Luar Malaysia @HishammuddinH2O hari ini (Khamis) untuk membincangkan kepentingan bersama kami di Laut China Selatan. Kerjasama Komprehensif AS-Malaysia sangat penting dalam membantu memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” tulis Pompeo di Twitter.

Hishammuddin di Parlimen pada Rabu berkata Malaysia tidak sepatutnya diheret dan terperangkap dalam geopolitik pertimbangan kuasa besar dan perlu berusaha mengelakkan sebarang insiden tidak diingini di perairan itu, termasuk pertembungan ketenteraan di perairan oleh mana-mana pihak.

Ujar beliau Malaysia sejak dahulu lagi sentiasa komited untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara konstruktif menerusi forum dan saluran diplomatik bersesuaian.

Malaysia bulan lalu mengekalkan pendiriannya bahawa semua pihak mesti bekerjasama mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan selain terus memainkan peranan aktif dalam memastikan Laut China Selatan kekal aman dan menjadi laluan perdagangan.

Pada 13 Julai, Pompeo, dalam satu kenyataan, mengatakan tuntutan Beijing di Laut China Selatan sama sekali menyalahi undang-undang, ia seolah-olah kempen untuk membuli dan mengawal mereka.

Berikutan itu Kedutaan China di Malaysia pada 20 Julai berkata China komited dengan pendekatan ‘dual-track’ berhubung isu Laut China Selatan dan menegakkan prinsip kebersamaan dalam mencari penyelesaian pertikaian melalui rundingan dengan semua negara terlibat.

Jurucakap itu berkata China mengehadkan pengembangan minyak dan gas serta aktiviti penangkapan ikan di Laut China Selatan di perairan di bawah bidang kuasa China, sesuai dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dan undang-undang domestik China.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 mendedahkan sebanyak 89 kali kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara dari 2016 hingga 2019 dan kehadiran mereka dikenal pasti berhubung tuntutan Laut China Selatan khususnya kawasan Beting Patinggi Ali (BPA).

“Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019,” kata laporan itu. – Bernama, 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen