Isteri Guan Eng, ahli perniagaan ditahan kes banglo RM2.8 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Betty Chew yang juga bekas Adun Kota Laksamana ditahan SPRM ketika hadir ke pejabat agensi itu di Pulau Pinang untuk siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

ISTERI Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan Phang Li Koon ditahan agensi antirasuah berhubung siasatan semula kes pembelian banglo kontroversi bernilai RM2.8 juta.

Isteri Lim, Betty Chew yang juga bekas Adun Kota Laksamana ditahan pagi ini ketika hadir untuk siasatan manakala Phang ditahan petang semalam ketika hadir memberi keterangan, kata sumber.

“Kedua-dua mereka akan didakwa bersama bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng pada Selasa ini di Mahkamah Seksyen Butterworth,” katanya kepada The Malaysia Insight.

Chew ditahan ketika tampil untuk siasatan bersama seorang adik Lim, Hui Ying, yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang tiba kira-kira jam 10.45 pagi.

“Mereka dipanggil memberi keterangan bagi membantu satu siasatan di negeri ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Peguam Chew, RSN Rayer mengesahkan penahanan anak guamnya.

Lim dan Phang sudahpun dituduh berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang itu pada Jun 2016.

Banglo itu didakwa dibeli pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran sewaktu Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang pada 2015.

Selepas perbicaraan berakhir, kedua-duanya kemudian dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan pada September 2018.

Terdahulu, Lim hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi tuduhan meminta rasuah berupa 10 peratus daripada keuntungan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Menurut pendakwaan, Lim melakukan kesalahan itu pada Mac 2011ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Lim didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen