Covid-19: Penstrukturan pinjaman bank sahaja tidak cukup 


MINGGU ini kita dikejutkan dengan kematian seorang lelaki yang telah membunuh diri akibat stress kehilangan pekerjaan beliau dua bulan lalu. Kesusahan hidup mungkin telah menghimpit beliau untuk mengambil jalan yang terakhir.

Walaupun ramai yang mengatakan bahawa kita harus cekal akan cabaran yang mendatang namun tidak semua mampu mempunyai kapasiti untuk berhadapan dengan krisis seperti ini.

Kejadian ini dapat kita simpulkan dengan tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat. Kos sara hidup yang meningkat terutamanya semenjak banyak bekalan menjadi terhad dan pengurangan pengimportant dari negara jiran.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis, Azizan Sulaiman, berkata peningkatan harga barangan berkenaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac dan bermula awal Julai lalu dikesan berterusan meningkat.

Katanya, harga jualan semasa bagi sekilogram cili besar adalah antara RM25 hingga RM30 manakala bagi sekilogram tomato sebanyak RM10 berbanding sebelum ini dijual masing-masing pada harga RM15 dan RM5 sekilogram. Selain cili terdapat juga kenaikan barang-barang asas lain.

Kuasa membeli bagi pengguna telah menurun dan rakyat tidak mampu berbelanja seperti dahulu. Ramai yang akan mengurangkan pembelian dan menggantikan dengan barang yang murah dan tidak berkhasiat. Kesusahan untuk kelangsungan hidup ini dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

Berdasarkan laporan Unicef, lebih daripada 1 dalam 10 kanak-kanak makan kurang daripada tiga kali sehari sementara  97% isi rumah mengatakan bahawa tinggi harga makanan mencegah mereka dari membuat persediaan makanan sihat untuk mereka kanak-kanak.

Laporan ini diambil sebelum pandemik Covid-19, tetapi dengan keadaan ekonomi sekarang dan tidak menentu dan ramai yang diberhentikan dari pekerjaan, sudah semestinya keadaan akan menjadi lebih teruk, bukan?

Walaupun terdapat banyak pihak yang mendesak agar moratorium dilanjutkan, namun sedih sekali ia akan berakhir pada akhir bulan September ini. Penstrukturan pinjaman bank akan dibuat jika seseorang itu kehilangan pekerjaan ataupun telah menghadapi pemotongan gaji. Proses serta pakej bergantung kepada pihak bank dan akan diberikan berdasarkan situasi dan keadaan kewangan peminjam.

Walaupun, pihak bank akan membantu peminjam namun kebajikan peminjam haruslah dijaga. Kita tidak mahu pada tahun yang akan datang peminjam terpaksa berhadapan dengna hutang yang lebih kerana tindakan ini kerana segalanya akan dijalankan berdasarkaan budi bicara pihak bank.

Bagi menjaga kebajikan peminjam, kerajaan haruslah merangka akta bagi menjamin peminjam di dalam keadaan sebegini agar hak mereka akan dijaga.

Akta tersebut haruslah merangkumi contohnya pihak bank tidak boleh mencaj kadar bunga yang tinggi sehingga menyebabkan jumlah baki tertunggak menjadi terlampau tinggi.

Pihak bank juga haruslah telus dalam membantu peminjam dan memberikan peneragan sepenuhnya dan menerangkan kesan terhadap peminjam. Pihak bank haruslah menggunakan pelbagai cara untuk membantu peminjam sebelum mengambil tindakan undang-undang dan sebagainya.

Akta ini haruslah diwujudkan membantu dan menjamin hak peminjam. Jangnlah hanya memberhentikan morotorium dan membiarkan peminjam terkontang-kanting tanpa perlindungan buat mereka.

Bagi proses penstrukturan adalah lebih susah bagi golongan B40 kerana mereka harus menunjukkan aliran tunai yang baik untuk melayakkan mereka untuk mendapatkan penstrukturan semula. Jika mereka dibawa ke AKPK, kemungkinan masih tidak dapat dibantu kerana aliran tunai yang tidak mencukupi.

Oleh itu, kerajaan haruslah membantu golongan tersebut dengan menjamin pinjaman mereka dengan pihak bank agar pihak bank tidak berasa khuatir atau risau akan risiko menstruktur kembali pinjaman mereka.

Jika kerajaan boleh memberikan jaminan pinjaman di bawah Danajamin Prihatin iaitu sebanyak 80% jaminan bagi jumlah pinjaman yang dibuat oleh syarikat-syarikat atau bisnes terlibat, jadi apa salahnya bantuan konsep yang sama diberikan kepada golongan B40 juga?

Ramai rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi, tetapi ramai juga yang memerlukan lebih bantuan dari yang lain untuk terus bertahan. Janganlah kita lupakan golongan ini. Morotorium bersasar sahaja tidak cukup bagi membantu golongan yang susah, ia perlu dilengkapakan dengan tindakan susulan lain.

Masa depan mereka juga penting untuk menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Jika kita tidak mengendahkan kebajikan peminjam dan membiarkan rakyat berjuang nasib sendiri, janganlah kita menyesal di kemudian hari apabila ramai dari mereka yang tersungkur di medan perang.

Berikanlah mereka kesempatan untuk bernafas dan memulakan usaha mereka kembali seperti sedia kala. – 7 Ogos, 2020.


* Sophie Shakur ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen