Putera mahkota Arab Saudi beli lukisan Da Vinci AS$450 juta


Lukisan "Salvator Mundi" hasil karya Leonardo da Vinci dijual pada harga AS$450 juta. – Gambar AFP, 8 Disember, 2017.

PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman adalah pembeli sebenar lukisan zaman Renaissance hasil karya Leonardo da Vinci yang terjual pada harga pecah rekod AS$450 juta pada satu jualan lelongan bulan lalu, lapor The Wall Street Journal.

Putera muda yang dikenali dengan tanda nama MBS, menggunakan orang tengah untuk membeli lukisan yang paling dikehendaki itu, berjudul “Salvator Mundi”, memetik daripada sumber risikan Amerika Syarikat (AS) dan sumber lain.

Putera kepada Raja Salman yang dilihat semakin menggunakan kuasanya itu dilihat sebagai arkitek pelan besar dalam wawasan 2030 untuk membawa perubahan sosial dan ekonomi kepada negaranya.

Beliau juga dilihat sebagai dalang penahanan dan siasatan terhadap lebih 200 putera, menteri dan ahli perniagaan dalam usaha membanteras rasuah di Arab Saudi.

Lukisan itu, salah satu daripada kurang 20 karya agung, dibeli oleh seseorang yang kurang dikenali dengan nama Putera Bader bin Abdullah bin Mohammed bin Farhan al-Saud, menurut laporan itu.

Pada Rabu, Louvre Abu Dhabi mengumumkan lukisan Da Vinci itu akan dipamerkan di situ.

“Salvator Mundi” bertarikh sekitar 1500 adalah lukisan Da Vinci yang terakhir diketahui berada dalam simpanan pengumpul persendirian. Selama ini ia dipercayai hanya salinan tetapi akhirnya disahkan asli kira-kira 12 tahun lalu. – AFP, 8 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen