Dr Mahathir dijangka umum parti baharu petang ini, kata sumber


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad dijangka akan umum penubuhan sebuah parti politik baharu pada 4 petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

DR Mahathir Mohamad dijangka akan mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu petang ini, selepas mahkamah membatalkan tindakan samannya mencabar tindakan pemberhentian keahlian beliau dan beberapa penyokongnya dari Bersatu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pengumuman akan dibuat dalam satu sidang media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur pada 4 petang ini.

“Ada pengumuman pada pukul 4 dan selepas itu mereka akan bertemu dengan penyokong,” kata sumber.

Dr Mahathir dijadual akan berucap dalam pertemuan dengan penyokong yang akan diadakan di sebuah hotel di Bangsar.

Antara yang dijangka menyertai parti baharu itu ialah bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik, bekas timbalan menteri kewangan Amiruddin Hamzah dan bekas timbalan menteri luar negeri Marzuki Yahya.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman Dr Mahathir dan beberapa yang lain terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan tiga lagi berhubung tindakan pemberhentian keahlian mereka dari Bersatu.

Hakim Rohani Ismail membatalkan saman itu atas permohonan Muhyiddin dan tiga defendan lagi iaitu setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin, setiausaha kerja Muhammad Suhaimi Yahya, dan Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim.

Dalam keputusannya Rohani berkata Dr Mahathir dan plaintif lain tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan tersebut kerana pemberhentian keahlian mereka telah disahkan oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 Jun lalu.

Dr Mahathir letak jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Februari, hari yang sama beliau melepaskan jawatan sebagai perdana menteri. 

Peletakan jawatannya dari parti bagaimanapun dipertikaikan ketika Bersatu terbelah dua antara kumpulan yang menyokongnya dan Muhyiddin.

Bersatu ditubuhkan pada September 2016 dengan matlamat menggantikan Umno sebagai parti pilihan orang Melayu dan Bumiputera. Ia kemudian menyertai Pakatan Harapan dan bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum pada Mei 2018.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baharu bersama Umno, sementara Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, menyebabkan pentadbiran yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 gugur serta merta. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen