Saya 'penyelesaian' antara Dr Mahathir dan Anwar, kata Shafie Apdal


Kamles Kumar

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal bersyukur dinamakan sebagai calon perdana menteri sungguh pun berpendapat ada individu yang jauh lebih layak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

SAYA “penyelesaian” bagi calon perdana menteri pembangkang untuk menamatkan pergolakan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, kata Mohd Shafie Apdal.

Ketua menteri Sabah sementara itu berkata beliau bersyukur namanya dicalonkan sungguh pun berpendapat ada individu yang jauh lebih layak.

“Mereka (pembangkang ) fikir saya jalan penyelesaian bagi Dr Mahathir dan Anwar,” kata Shafie dalam rancangan temu bual The Breakfast Grille di BFM Radio pagi ini.

Presiden Warisan itu juga berkata meletakkan beliau sebagai calon perdana menteri akan meletakkan Sabah dalam kedudukan lebih selesa dengan kerajaan persekutuan.

“Ini sudah lama diimpikan nenek moyang kita… tetapi tiada (wakil rakyat) dari Sabah atau Sarawak jadi TPM atau PM.”

Beliau yang juga ahli Parlimen Semporna juga berkata kedudukan Sabah yang terletak antara negara-negara termasuk Jepun dan China membolehkan Malaysia lebih berdaya saing dalam perdagangan.

Oleh itu, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi Sabah dalam industri pelancongan, pertanian dan minyak, tambahnya.

“Kita boleh meningkatkan sektor pelancongan kerana kita menerima paling banyak pelancong. Kita juga mempunyai 37 tan simpanan minyak di Sabah, dengan mudahnya menghasilkan 15 bilion tong minyak. Jadi kita boleh bayangkan jika potensi ini dimanfaatkan,” kata Shafie.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu menambah, beliau akan menggunakan kedudukannya jika dilantik sebagai perdana menteri untuk rundingan lebih baik seperti royalti minyak bagi Sabah yang tertangguh sejak sekian lama.

“Jika kita ingin bangunkan negara, kita perlu sentuh hati semua rakyat. Bukan hanya orang tertentu.

“Dengan menberi royalti, yang lama ditunggu Sabah. Ini akan memperkukuh dan membagunkan negara.”

Jika dilantik sebagai perdana menteri juga, isu agama dan bangsa tidak akan menjadi isu utama lagi, kata Shafie.

“Saya sudah pun katakan kenapa saya tubuhkan Warisan sebagai parti berbilang kaum. Jangan hanya bangunkan ekonomi, tetapi mesti satukan rakyat dahulu.

“Ini perlu jadi keutamaan untuk negara maju ke depan. Bangsa dan agama boleh memecahbelahkan,” kata bekas naib presiden Umno itu kepada BFM Radio. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen