Walau ramai ikat perut kerana Covid-19, masih ada mampu beli rumah


Khoo Gek San

Pasaran hartanah merekodkan jualan memberangsangkan walaupun musim wabak Covid-19 belum reda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

ADA yang terpaksa ikat perut kerana kesan Covid-19 ke atas ekonomi, tetapi ada juga yang tidak terjejas malah boleh melabur dalam hartanah pula.

Data industri menunjukkan musim wabak adalah waktu yang tepat untuk melabur jika pelabur mempunyai kemampuan pembiayaan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Mah Sing Benjamin Ong berkata kumpulan itu merekodkan jualan mencecah RM350 juta sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), jualan memberangsangkan disebabkan pelbagai insentif percukaian termasuk pengecualian setem duti dan cukai keuntungan harta tanah diumumkan di bawah pakej Penjana.

Permintaan untuk hartanah kelas pertengahan juga bertambah ketika ini, katanya, merujuk kepada hartanah berharga antara RM500,000 sehingga RM600,000 yang mendapat permintaan menggalakkan.

Walaupun kesan wabak Covid-19 masih dirasai pasaran hartanah, harga rumah tidak banyak berubah.

Keputusan kerajaan memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah juga membantu jualan.

Kempen itu yang menawarkan pengecualian duti setem sehingga RM1 juta untuk surat pindah milik hartanah bernilai antara RM300,000 sehingga RM2.5 juta, dan 100% pengecualian duti setem untuk perjanjian pembiayaan telah dilanjutkan sehingga 31 Mei tahun depan.

Ong berkata Mah Sing melakukan pelancaran projek dalam talian ketika PKP dan merekodkan jualan yang memberangsangkan.

Rumah adalah antara keperluan yang akan terus jadi keutamaan mereka yang mampu walaupun wabak melanda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

Pada Julai, apabila PKP mula dilonggarkan projek kondominium mewah sebanyak 378 unit di Wangsa Melawati, Tower A M Adora yang dibangunkan kumpulan itu merekodkan kadar tempahan mencecah 90% ketika dilancarkan, tambah Ong.

Mah Sing menjual hartanah baharu bernilai RM1.5 bilion tahun lepas.

“Pasaran perumahan perlahan pada 2017 dan 2018, tetapi kembali meningkat pada 2019,” kata Ong.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia Lim Boon Ping pula berkata insentif di dalam pakej Penjana banyak membantu pasaran.

Jelasnya, kesan wabak berbeza daripada kesan Krisis Kewangan Asia 1997, apabila kadar faedah hartanah naik sehingga dua angka.

Bank pada masa sekarang memberikan peluang kepada peminjam untuk menangguhkan pinjaman mereka dan sektor perbankan lebih kukuh sekarang berbanding krisis ekonomi itu, tambahnya.

“Wujud pendapat yang disebabkan wabak dan PKP, pasaran hartanah domestik akan terkesan kerana pembuangan pekerja dan pemotongan gaji.

“Bagaimanapun, bank menurunkan kadar faedah, dan kerajaan juga mengumumkan pelanjutan moratorium pinjaman bersasar,” katanya.

Walaupun wabak masih belum reda, pasaran hartanah masih bertahan kerana kekukuhan sektor perbankan dan insentif kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

Bagi pasaran sewa, Lim menganggapnya dalam proses pemulihan.

“Wabak ini menjejaskan ramai orang dalam industri pelancongan, penerbangan dan peruncitan.

“Secara prinsipnya, orang tidak beli rumah, tetapi masih perlu menyewa. Berdasarkan ini, penyewaan masih aktif ketika ini.”

Selain itu, penjualan rumah oleh tuan rumah juga tidak banyak berlaku.

“Walaupun pasaran hartanah lembap ketika PKP, ia tidak akan runtuh sepenuhnya,” kata Lim.

Beliau secara berjenaka, turut mendedahkan ejen hartanah banyak mendapat panggilan ketika PKP daripada bakal pembeli untuk melakukan sesi lawatan ke hartanah yang mereka idamkan.

Pengarah Urusan Austin Heights Sdn Bhd Steve Chong Yoon On pula berkata ramai pembeli mengambil kesempatan dengan diskaun besar ditawarkan pemaju dan pengecualian duti setem.

“Makanan, pakaian, rumah dan pengangkutan akan sentiasa penting. Malah, kalau dalam kelembapan ekonomi pun, mereka yang mampu beli rumah masih akan memilih untuk beli rumah ketika tempoh itu.

“Menurut trend semasa pasaran, harga hartanah sekitar RM500,000 sehingga RM700,000 mendapat permintaan tinggi. Pemaju juga sedang beralih kepada projek dalam jurang harga itu.”

Tambah Chong, musim wabak juga mengubah model pemasaran pemaju.

Ini termasuklah menawarkan hartanah bersaiz lebih kecil dan lengkap perabot dengan harga sesuai dengan pasaran.

Tetapi, semua ini tidak bermakna pemaju mengaut keuntungan besar, kata Chong yang juga presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Johor.

“Susah nak kata yang pemaju banyak untung ketika ini. Duit dibuat dilabur balik ke dalam operasi.” – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen