Industri gesa Putrajaya rendahkan cukai korporat, pengecualian cukai pendapatan


Sheridan Mahavera

Pengurangan cukai korporat dan pengecualian cukai persendirian untuk kumpulan tertentu boleh merangsang ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

CUKAI korporat rendah dan pengecualian cukai pendapatan menjadi hasrat utama perniagaan bagi Belanjawan 2021 kerana ia boleh membantu merangsang pelaburan dan kepenggunaan bagi memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk kerana wabak, menurut satu tinjauan.

Menurut tinjauan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (ACCIM) mendapati hampir 84% syarikat berharap Putrajaya akan mengurangkan kadar cukai korporat kepada 22% untuk syarikat besar dan 15% untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Ini adalah kerana kadar cukai korporat semasa Malaysia adalah 24%, tertinggi dalam kalangan negara lain di rantau ini seperti Singapura (17%), Thailand (20%) dan Vietnam (20%).

Pengurangan cukai korporat akan menggalakkan perniagaan membelanjakan kapital untuk meluaskan dan memulihkan pelaburan terus asing dan tempatan, kata tinjauan lagi.

“Dengan ketegangan yang semakin hebat antara Amerika Syarikat dan China, syarikat asing mencari kawasan selamat untuk penempatan semula kilang pengeluaran dan hab perkhidmatan mereka,” kata ACCIM.

“Malaysia mungkin akan kehilangan peluang itu kepada negara jiran disebabkan kadar cukai tidak berdaya saing negara.”

Tinjauan ke atas 828 buah syarikat, dengan 93.8% adalah PKS, dilakukan antara pertengahan Mei sehingga awal Jun tahun ini.

Kajian bermatlamat mengukur sentimen perniagaan susulan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan jangkaan untuk separuh kedua tahunan 2020 dan 2021.

Perniagaan juga ditanya tentang usaha tambahan yang dianggap penting yang boleh membantu ekonomi keluar daripada kitaran kelembapan disebabkan Covid-19.

Putrajaya dijangka membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi dan Belanjawan 2021 pada Oktober dan November ini.

Hampir 44% responden kajian berkata perniagaan lembap dan sentimen pengguna disebabkan wabak adalah faktor utama yang boleh menghalang pemulihan ekonomi.

Bagi mengatasi perkara ini, 72.6% responden berkata Putrajaya perlu mengumumkan pengecualian cukai pendapatan untuk belanjawan tahun depan bagi mereka berpendapatan RM100,000 dan ke bawah.

Ini akan memberi manfaat kepada hampir dua juta pembayar cukai, kebanyakan mereka adalah kumpulan pendapatan pertengahan dan meningkatkan kuasa beli mereka, kata ACCIM.

“Walaupun ini boleh menyebabkan kerajaan rugi RM5 bilion dalam perolehan cukai, kerajaan boleh mendapatkannya semula melalui perolehan cukai tidak langsung.”

Tinjauan juga mendapati lebih dua pertiga perniagaan merasakan perbelanjaan bersasar untuk infrastuktur awam diperlukan bagi merangsang permintaan dalam negara.

Hampir 65% respoden merasakan keutamaan Putrajaya sekarang adalah mempercepatkan pemberian RM4 bilion untuk projek skala kecil yang diumumkan dalam pakej Penjana sebelum ini.

62% lagi berkata Putrajaya juga perlu memperhebat usaha menarik FDI dan DDI berkualiti tinggi untuk memulihkan ekonomi. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen