Kerajaan bentang RUU naikkan had hutang, lulus RM45 bilion di Parlimen


Chan Kok Leong

Kerajaan bentang RUU untuk membenarkan ia mengambil langkah sementara berkaitan kewangan kerajaan untuk mengurangkan kesan pandemik wabak Covid-19 terhadap ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

KERAJAAN membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk membenarkan ia mengambil langkah sementara berkaitan kewangan kerajaan untuk mengurangkan kesan pandemik wabak Covid-19 terhadap ekonomi.

RUU Langkah Sementara untuk Kewangan Kerajaan (Wabak Koronavirus 2019) 2020 dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar-BN) di Dewan Rakyat pagi ini.

RUU itu yang mengandungi lapan klausa, meminta untuk menaikkan jumlah siling pinjaman dinaikkan oleh kerajaan dari 55% kepada 60% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK).

Jumlah siling pinjaman kerajaan dikhususkan di bawah subseksyen 3(1) Akta Pinjaman (Tempatan).

Jumlah keseluruhan wang yang boleh diterima diletakkan di bawah subseksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 Perintah Pendanaan Kerajaan.

RUU itu juga mencadangkan untuk meluluskan sejumlah RM45 bilion diumumkan untuk pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi.

Selain itu, RUU itu juga mencadangkan untuk menubuhkan Dana Covid-19 di bawah Klausa 4.

Menurut RUU yang dicadangkan, dana itu akan hanya boleh digunakan untuk program di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, menteri kewangan akan diberikan kuasa untuk mengehadkan atau menggantung jumlah yang diperuntukkan bagi program di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan.

Klausa 5 juga membenarkan menteri untuk mengalih mana-mana lebihan dana daripada program Covid-19.

Di bawah Klausa 7, kerajaan perlu menyediakan keterangan resit dan perbelanjaan untuk dana Covid-19.

Tempoh cadangan undang-undang itu dari tarikh diwartakan hingga 31 Disember, 2022.

Bacaan kedua untuk RUU ini ditetapkan minggu depan. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen