Bekas CEO syarikat direman siasatan rasuah beli tablet


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan agensi anti rasuah berkaitan kes rasuah berjumlah AS$2.5 juta (lebih kurang RM10 juta).

Perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 48 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

“Suspek disyaki menerima suapan tersebut daripada sebuah syarikat dari luar negara sebagai balasan untuk pembelian 10,000 tablet berjumlah AS$5.8 juta sekitar 2014 sehingga 2018.

“Bagaimanapun, pembelian tersebut dibuat secara sulit tanpa persetujuan daripada ahli lembaga pengarah syarikatnya sehingga menyebabkan kerugian besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah sumber, wang rasuah yang diterima  turut disorok di luar negara seperti di Singapura dan Hong Kong.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009). – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen