Tiada undang-undang kuat kuasa pengisytiharan harta wakil rakyat, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengisytiharan harta bagi ahli Parlimen sekarang dibuat mengikut kod etika Parlimen dan SPRM tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

AGENSI anti rasuah memerlukan kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas wakil rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan yang gagal mengisytiharkan harta, kata pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata pengisytiharan harta oleh ahli Parlimen, menteri dan timbalan menteri sekarang dibuat mengikut kod etika Parlimen dan SPRM tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.

“Apa yang SPRM guna sekarang ialah kod etika peringkat Parlimen. Mereka (ahli Parlimen dan anggota pentadbiran) mengisytiharkan (harta) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

“Jika gagal isytihar, mereka hanya boleh diambil tindakan oleh jawatankuasa di Parlimen dan hukumannya juga tidak tegas.

“Kita perlu ada satu peruntukan undang-undang khas yang boleh digunakan oleh SPRM sama seperti yang digunakan di Thailand, India, Georgia dan Indonesia… baru pelaksanaannya akan lebih telus,” katanya dalam temubual bersama saluran radio MACC.fm, hari ini.

Jelas Shamshun, undang-undang di empat negara itu bukan saja terpakai untuk anggota pentadbiran mengisytiharkan harta malah turut terpakai pada bekas pemimpin, selain memaparkan perincian harta yang diisytiharkan.

“Namun kita tidak boleh mengikut semua yang dilaksanakan di empat negara contoh itu.

“Melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) satu model yang sesuai boleh dibentuk sebelum dilaksanakan.

“Sekiranya semua pihak bersedia dan setuju, satu undang-undang atau peruntukan khas boleh dibentuk dan dilaksanakan bermula tahun depan,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul pengisytiharan harta yang menetapkan semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta mereka melalui akuan berkanun, termasuk yang dimiliki olehisteri atau suami, anak serta pemegang amanah.

Akuan berkanun itu kemudian dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan  disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta juga dipaparkan dalam portal SPRM bagi tempoh tiga bulan daripada tarikh agensi anti rasuah itu menerima akuan berkanun tersebut.

Ahli Parlimen yang gagal mengisytihar harta boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, mereka boleh dikenakan didakwa dan dikenakan hukuman mengikut Akta Akuan Berkanun dan Kanun Keseksaan. – 6 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen