KEMENTERIAN Pertahanan Rusia pada Khamis mengatakan misi menumpaskan militan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq di Syria sudah “dicapai” dan negara itu “dibebaskan sepenuhnya” daripada kumpulan pengganas itu.
“Matlamat pihak bersenjata Rusia adalah untuk menumpaskan kumpulan bersenjata organisasi pengganas IS di Syria sudah dicapai,” kata Pegawai Kanan Tentera Sergei Rudskoi.
“Tiada lagi perkampungan atau daerah di Syria di bawah kawalan IS. Jajahan di Syria telah berjaya dibebaskan sepenuhnya daripada pejuang organisasi pengganas ini,” katanya kepada wartawan.
Wujud serangan besar-besaran dilakukan pasukan tentera udara Rusia beberapa hari ini, katanya, dengan pesawat perang melakukan 250 serangan sehari.
Pada masa yang sama, pasukan gerak khas bergerak aktif di darat mengarahkan pesawat dan “memusnahkan hampir semua pemimpin musuh di kawasan musuh,” katanya lagi.
Syrian Observatory for Human Rights yang memantau konflik itu pada Khamis mengatakan yang IS masih memegang hampir lapan peratus daerah Deir Ezzor.
Rudskoi berkata “kumpulan serpihan IS” mungkin masih aktif tetapi mereka sedang berdepan tentera kerajaan Syria, memberi gambaran yang penglibatan Rusia mungkin sudah dikurangkan.
Rusia memulakan serangan udara pada September 2015 sebagai sokongan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Serangan itu berjaya membantu Assad terus berkuasa di Syria yang dilanda konflik.
Bulan lepas, Presiden Vladimir Putin mengatakan usaha peperangan sudah memasuki “fasa baru” dengan fokus berubah daripada campur tangan tentera kepada perubahan politik.
Lebih 340,000 orang terbunuh sejak konflik tercetus pada Mac 2011 yang bermula dengan protes menentang rejim pemerintahan Assad. Protes itu berakhir dengan tindak balas kejam kerajaan Assad. – AFP, 7 Disember, 2017.
Komen