Bicara kes rasuah Rosmah tangguh, peguam sakit akibat terjatuh


Ravin Palanisamy

Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Ogos, 2020.

PERBICARAAN kes projek hibrid solar melibatkan Rosmah Mansor ditangguhkan hari ini susulan kesakitan akibat terjatuh yang dialami peguamnya Azrul Zulkifli Stork semalam.

Azrul sedang menyoal balas saksi ke-17 hari ini tetapi beliau memberitahu mahkamah tidak mampu meneruskannya susulan kesakitan dialaminya akibat terjatuh.

Dalam prosiding singkat pagi ini, Azrul memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan beliau jatuh malam semalam di kondominiumnya dan keadaan semakin teruk dan perlu berjumpa doktor.

“Saya jatuh di kondominium saya malam tadi.

“Keadaan saya semakin buruk. Saya perlu memohon kebenaran mahkamah untuk mengosongkan perbicaraan hari ini kerana perlu berjumpa doktor,” katanya.

Peguam utama pendakwaan, Gopal Sri Ram berkata mereka tidak keberatan agar perbicaraan itu dibatalkan dalam keadaan seperti itu.

“Tiada bantahan untuk menangguhkannya,” katanya.

Hakim Zaini membenarkan perbicaraan ditangguhkan dan berkata ia akan disambung pada 17 Ogos 2020, dengan Azrul akan menyoal balas semula Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Semalam, Saidi selesai membaca keterangan saksinya yang berkata Rosmah melalui Rizal meminta sumbangan politik dalam projek solar hybrid dinaikkan kepada 15%.

Saidi juga berkata tiada resit dikeluarkan kepadanya hingga hari ini berhubung sumbangan politik RM6.5 juta yang dibuat kepada Barisan Nasional dan Umno yang didakwa melalui Rosmah.

Peguam utama Rosmah, Jagjit Singh berkata Saidi adalah saksi utama perbicaraan ini dan soal balasnya dijangka berlangsung selama 2 hari.

Rosmah, 69, berdepan tiga tuduhan rasuah, salah satunya ialah meminta RM187.5 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk membantu syarikatnya mendapatkan kontrak bernilai

RM1.25 bilion bagi melengkapkan 369 sekolah di Sarawak dengan sistem solar.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen