Berniaga makanan tepi jalan jadi pilihan selepas hilang kerja


Sheridan Mahavera Noel Achariam

Harun Yakub dan isteri mengambil keputusan berniaga nasi lemak selepas dua bulan tiada sumber pendapatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Ogos, 2020.

NASI lemak, kek dan air kelapa adalah sumber pendapatan baharu bagi ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan kerana wabak Covid-19 setlepas ekonomi berdepan perintah pengurungan selama sembilan minggu.

Jabatan Perangkaan menganggarkan lebih 800,000 rakyat Malaysia menganggur pada Mei ketika sebahagian besar ekonomi ditutup dari 18 Mac hingga 12 Mei.

Mereka yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) berkongsi dengan The Malaysian Insight bagaimana mereka mengambil keputusan berniaga di tepi jalan untuk memenuhi keperluan hidup.

“Peniaga pasca PKP” baharu ini menceritakan mengenai cabaran yang mereka hadapi seperti mendapatkan kebenaran majlis kerajaan tempatan dan hasil jualan yang tidak konsisten.

Ada yang bersyukur kerana usaha beberapa bulan mereka mula membuahkan hasil sementara yang lain masih bereksperimentasi dengan produk jualan mana paling laris.

Tetapi semua berharap seiring dengan masa dan ekonomi yang bertambah baik, mereka akan mampu memperoleh jumlah pendapatan sama dengan apa yang mereka hilang dahulu.

Harun Yakub

Bekas jurujual elektronik dan pemilik restoran, Harun, 60, sudah banyak melalui turun naik dalam kehidupan di kampung halamannya di Kota Baru, Kelantan dan sekarang Puchong, Selangor.

Beliau mempunyai sebuah kedai elektronik, tiga restoran dan kini menyediakan perkhidmatan menyewa sistem PA untuk kenduri kahwin, acara korporat dan majlis keagamaan.

Sepanjang tempoh 60 tahun sebagai usahawan, beliau tidak pernah melihat kemerosotan ekonomi seperti yang berlaku disebabkan wabak itu.

“Semua yang berlaku ini menjejaskan semua pendapatan utama saya dan kami hanya boleh duduk di rumah dan menunggu. Dahulu, saya masih boleh keluar dan membuka kedai.”

Memandangkan perhimpunan sosial dilarang semasa PKP dan PKP bersyarat, Harun tidak memperoleh pendapatan langsung.

“Selepas tinggal di rumah selama hampir dua bulan dan menghabiskan wang simpanan kami, saya dan isteri berkata yang kami tidak boleh diam sahaja.

“Oleh itu, kami mengambik keputusan mengumpulkan wang yang masih ada dan mula menjual nasi lemak pada waktu pagi,” kata Harun ketika ditemui di gerai yang terletak di tempat parkir flatnya.

Pasangan itu berjaya memperoleh jualan agak memberangsangkan walaupun ia hanya separuh daripada hasil diperoleh Harun bagi perkhidmatan menyewa PA.

“Tidak seperti yang biasa kita dapat tetapi saya akan terus berniaga sementara menunggu keadaan menjadi lebih baik.”

Kamarulzaman Ibrahim nekad terus berniaga di tepi jalan kerana hasil diperolehi lebih memberangsangkan berbanding ketika menjadi pembekal kuih tradisional Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2020.

Kamarulzaman Ibrahim

Bapa empat anak ini adalah satu-satunya yang memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau mungkin akan terus berniaga di tepi jalan dan tidak kembali kepada perniagaan lamanya.

Sebelum PKP, Kamarulzaman membuat dan membekalkan kuih tradisional Kelantan kepada peniaga pasar malam di Lembah Klang.

Lelaki berusia 46 tahun itu mula menjual nasi lemak, nasi kerabu dan kuihnya sendiri pada Jun kerana pelanggan biasanya ramai tidak kembali berniaga di pasar malam.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang jangkitan Covid-19, gerai pasar malam harus mempunyai jarak 2 meter dan oleh itu, peniaga harus bergilir setiap minggu untuk menjual di satu lokasi.

“Oleh itu, saya dan isteri mula berniaga makanan daripada menunggu peniaga biasa kami kembali. Ia mencabar kerana kami tidak terbiasa menjual sendiri produk kami sendiri.

“Tapi untungnya, penjualan kami bagus. Saya sudah berniaga selama lebih kurang sebulan dan saya dapat melihat pendapatan yang saya peroleh sehari lebih daripada apa yang biasa saya dapat ketika membekalkan kek.

“Dalam beberapa bulan mendatang, jika penjualan saya masih bagus, saya berfikir untuk berniaga sepenuh masa.

“Ini lebih baik daripada menjadi pembekal kerana saya mempunyai wang tunai. Saya tidak perlu mengejar orang lain untuk mendapatkan bayaran.” – 8 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen