Pendapatan kurang, profesional terdesak moratorium hampir berakhir


Rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19 akan berdepan cabaran kewangan besar apabila moratorium pinjaman bakal berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

LOGAN Terence Gomez membuka restoran makanan di Bangsar, Kuala Lumpur pada Mac lalu ketika wabak Covid-19 melanda.

Untuk terus memastikan perniagaannya terus beroperasi Gomez mengetepikan gajinya dan membuat pemotongan gaji sebanyak 40% terhadap lima kakitangannya.

Kedainya dibuka tetapi hanya boleh membuat penghantaran dan mengambil barang.

Mereka masih tidak dapat menawarkan perkhidmatan makan di kedai kerana kekurangan dana, kata Gomez.

“Sebelum wabak kami memperoleh pendapatan RM60,000 sebulan tetapi sekarang kita hanya mendapat RM17,000,” katanya.

Gomez adalah salah seorang daripada ribuan rakyat Malaysia berdepan masalah pemotongan selepas wabak Covid-19 merosakkan ekonomi.

Walaupun perniagaan dan penggunaan mulai pulih, golongan professional berkata mereka bimbang tentang ansuran pinjaman mereka apabila moratorium berakhir pada September.

Sebilangan daripada mereka mahu meminta bank menyusun semula pembayaran pinjaman dengan memanfaatkan pelanjutan moratorium untuk individu terpilih.

“Saya siap sedia wang simpanan untuk membayar pinjaman perumahan tetapi kemungkinan besar saya perlu menghubungi bank untuk menyusun semula pinjaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang peguam kanan yang ingin dikenali sebagai Alfred berkata dia perlu lebih berjimat cermat pada Oktober apabila perlu membayar semula pinjaman rumah dan peribadi.

Firma guaman miliknya terjejas teruk akibat wabak yang memaksa menutup hampir keseluruhan negara semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 12 Mei.

PKP juga menyebabkan mahkamah terpaksa ditutup dan memotong pendapatan firma undang-undang sehingga 10 Jun apabila ia dibuka semula.

Pada mulanya firma Alfred sudah membuat pemotongan gaji sementara dengan anggapan bahawa PKP akan berkuatkuasa selama dua minggu dan syarikat akan membayar potongan selepas perniagaan kembali normal.

Bertujuan membantu keluarga bertahan daripada hilang pendapatan semasa PKP, Putrajaya umum moratorium enam bulan bayaran pinjaman bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

Tetapi apabila PKP berlanjutan sehingga dua bulan, firma itu memutuskan untuk mengekalkan pemotongan gaji sehingga akhir tahun ini.

“Kami memutuskan bahawa secara keseluruhan, semua pekerja akan dipotong gaji sebanyak 25% kerana aliran tunai kami terjejas, kerana semua pelanggan kami turut terkesan akibat wabak.

“Ini adalah keputusan yang wajar untuk memastikan syarikat tetap bertahan kerana kami mengelak untuk membuang pekerja,” kata wanita berusia 37 tahun itu yang turut perlu menjaga ibu bapanya.

Dev, yang syarikatnya terlibat dalam industri panggung wayang tempatan dan teater juga memperoleh pendapatan sifar selama lapan minggu PKP.

“Kami memotong 20% gaji untuk menjaga aliran tunai. Pihak pengurusan mengkaji keadaan setiap bulan untuk melihat apakah ia perlu diteruskan,” katanya.

Kurangkan perbelanjaan dan berjimat-cermat

Untuk membantu keluarga bertahan dari hilang pendapatan semasa PKP, Putrajaya mengumumkan moratorium enam bulan pembayaran pinjaman bank yang akan berakhir bulan depan.

Tetapi selepas mendapat permintaan berulang kali daripada orang ramai, kerajaan mengumumkan bahawa moratorium akan diperlanjutkan untuk individu terpilih untuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata bayaran bulanan untuk mereka yang dipotong gaji, bayaran ansuran akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

Buat masa ini Alfred tidak merasakan dia perlu ke bank untuk mengurangkan pembayaran pinjamannya.

“Jika perlu, saya akan membuat penyesuaian dan berbelanja lebih sedikit. Ini adalah perkara baharu.

“Kita tidak boleh berbelanja seperti dulu dan saya mencari jalan untuk mengurangkannya,” katanya.

Ong berkata dia bimbang akan pembayaran pinjaman hartanahnya sekiranya perniagaan tidak bertambah baik dalam masa enam bulan akan datang.

“Walaupun gaji saya sekarang masih membolehkan saya menampung perbelanjaan, dalam jangka masa panjang saya mungkin perlu menggunakan duit simpanan saya untuk membayar ansuran pinjaman sekiranya keadaan berlanjutan.

“Sekiranya perlu saya akan hubungi bank untuk bincangkan kemungkinan penyusunan semula bayaran,” katanya.

Dev, pengurus pemasaran berkata dia dan isterinya mengurangkan perbelanjaan mewah seperti makanan untuk menambah pendapatan mereka.

“Moratorium banyak membantu dan saya menyalurkan dana untuk kegunaan lain seperti bil elektrik dan barangan keperluan,” katanya.

Menurutnya dia dan isteri yakin akan dapat membayar semula pinjaman kereta mereka selepas moratorium berakhir tetapi menegaskan bahawa mereka sekeluarga akan berjimat sebaik mungkin.

“Kami masih memikirkan untuk mengurangkan perbelanjaan dan menyimpan lebih banyak wang agar dapat menguruskan ansuran pinjaman dan perbelanjaan pinjaman dengan baik,” katanya. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen