BITCOIN melepasi nilai AS$15,000 (RM61,250) hari ini, mewujudkan amaran mata wang kripto tidak akan dapat dikekang lagi serta menimbulkan kebimbangan baru tentang kehadirannya dalam pasaran kewangan dunia.
Ia mencecah rekod tertinggi AS$14,485 sebelum jatuh kepada AS$14,398 di pasaran dagang Asia tengahari tadi, menurut Bloomberg News.
Rekod itu dicapai sehari selepas mata wang virtual itu mencecah tanda aras AS$12,000 buat pertama kali.
Bitcoin yang diperkenalkan pada 2009 sebagai perisian tersulit dan tidak menerima sokongan bank pusat mana-mana negara serta tiada kadar pertukaran sah di sisi undang-undang, melonjak naik nilainya beberapa bulan kebelakangan ini berbanding harganya pada pertengahan Januari 2017, AS$752.
Peningkatan minat menyebabkan mata wang itu diterima ramai pelabur tradisional sebagai satu inovasi baru kewangan, situasi yang berubah berbanding ketika ia mula-mula diperkenalkan dipelopori pakar kewangan dan komputer.
Tetapi beberapa pihak termasuk Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat memberi amaran lonjakan nilai Bitcoin boleh mengancam kestabilan pasaran kewangan dunia, dan mungkin mewujudkan kelembapan ekonomi apabila harganya semakin meningkat.
Terdapat juga kebimbangan tentang pengenalannya dalam sistem kewangan sedia ada selepas pihak berkuasa AS, Suruhanjaya Perdagangan Komoditi Masa Depan (CBOE) minggu lepas membenarkan Bitcoin didagangkan dalam pasaran semasa, keputusan yang disifatkan penganalisis membantu lonjakan nilainya.
Bitcoin akan didagangkan dalam CBOE Futures Exchange bermula minggu ini dan dalam pasaran komoditi masa depan terbesar dunia, Chicago Mercantile Exchange (CME) bermula 18 Disember.
Tindakan ini menimbulkan kebimbangan pelabur dan pedagang pasaran disebabkan beberapa kontroversi yang melanda sebelum ini.
Pada 2014, perdagangan bitcoin di Tokyo, MtGox terbubar selepas 850,000 syilingnya- bernilai sekitar AS$480 juta ketika itu- hilang dari bilik kebalnya.
Bitcoin juga boleh digunakan di laman sesawang Silk Road yang membolehkan pengguna membeli apa sahaja termasuklah dadah dan senjata api. Situasi ini menimbulkan syak wasangka undang-undang terhadap mata wang virtual itu. – AFP,7 Disember, 2017.
Komen