Ahli Parlimen DAP gesa jawatankuasa khas pantau usaha dapatkan semula aset 1MDB


Chan Kok Leong Bede Hong

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata beberapa penyelesaian di bawah kerajaan Perikatan Nasional menimbulkan persoalan. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

PARLIMEN sepatutnya menubuhkan jawatankuasa pemilih khas untuk memantau usaha kerajaan mendapatkan kembali wang dan aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International, kata Ahli parlimen DAP, Tony Pua.

Ahli Parlimen Damansara itu mengusulkan pembentukan jawatankuasa tersebut dengan meminta agar ia dimasukkan sebagai resolusi dalam usul terima kasih Ahmad Maslan (Pontian-BN) bagi titah diraja, yang kini dalam tahap penggulungan di Dewan Rakyat.

“Saya harap Speaker (Azhar Azizan Harun) akan menerima tambahan ini bagi ucapan terima kasih Pontian,” kata Pua pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata sudah menghantar notis ke pejabat speaker mengenai perkara itu dan berharap ia dapat diterima untuk dibahaskan pada sidang Isnin.

Menjelaskan alasannya menginginkan jawatankuasa pilihan khas, Pua berkata Perikatan Nasional membuat beberapa penyelesaian yang dipersoalkan mengenai 1MDB dan bank pelaburan Goldman Sachs baru-baru ini.

“Sebagai contoh, penyelesaian Goldman Sachs baru-baru ini yang dipersetujui mereka akan membayar Malaysia AS$2.5 bilion dan menjamin pulangan aset sehingga AS$1.4 bilion.

“Tetapi dalam hal ini, bekas peguam negara Tommy Thomas berkata kerajaan meminta AS$7.5 bilion. Dan anehnya kerajaan memutuskan penyelesaian sebelum kes itu masuk mahkamah,” kata Pua.

Pua berkata pembangkang juga bimbang kemungkinan penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), yang saman oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Saman itu adalah untuk membatalkan penyelesaian yang dicapai antara firma Abu Dhabi dan 1MDB setahun sebelumnya, ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional, yang menyaksikan 1MDB akan membayar balik IPIC sebanyak AS$1.2 bilion.

“Walaupun, peguam negara baharu mengatakan belum ada penyelesaian, kami bimbang mereka akan menyelesaikan kes tersebut walaupun kami sudah memfailkan saman di London,” kata Pua, yang merupakan setiausaha politik bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dalam kerajaan PH. – 5 Ogos 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen