Tiada undi pos untuk penduduk Sarawak yang tinggal di Semenanjung


Chan Kok Leong Bede Hong

SPR menentukan kawasan mengundi berdasarkan alamat tempat tinggal seperti terdapat pada kad pengenalan sebagaimana direkodkan dalam pangkalan data JPN. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

PENDUDUK Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia tidak memenuhi syarat untuk mendapatkan hak pengundian pos khas jika pilihan raya diadakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH), Takiyuddin memetik Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan kawasan mengundi berdasarkan alamat tempat tinggal seperti terdapat pada kad pengenalan, yang direkodkan dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

“Berkaitan dengan pengundi Sarawak yang tinggal di negeri ini yang ingin menjadi pengundi pos, harap maklum bahawa pada masa ini, tiada peruntukan atau undang-undang khas untuk mengizinkan pengundi tersebut menggunakan kemudahan pengundian sebagai pengundi pos.”

Yii bertanya apakah ada peruntukan akan dibuat untuk pengundi di Sarawak, yang bakal mengadakan pilihan raya negeri tahun depan.

Takiyuddin berkata, kemudahan pengundian pos hanya diberikan kepada kategori berikut - kakitangan SPR; pekerja pilihan raya; polis; pengamal media; kakitangan dari sembilan agensi (Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Pengangkutan Maritim, Pasukan Sukarelawan Polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendaftaran,

Pasukan Pertahanan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana) yang bekerja semasa pilihan raya; serta rakyat Malaysia yang menetap di luar negara (kecuali Brunei, Singapura, Kalimantan dan Thailand Selatan).

Menteri berkata, SPR sekarang tidak mempunyai rancangan untuk menambah kategori bagi kemudahan undi pos.

Pilihan raya umum ke-15 mesti diadakan sebelum 16 September 2023, sementara pilihan raya negeri Sarawak pula sebelum 7 September 2021. – 5 Ogos 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen