Didakwa hina syahid, Miss Turki berdepan hukuman penjara


Itir Esen, 18, menang Miss Turki 2017 pada September tetapi kemenangannya dibatalkan kerana tweet yang dianggap penganjur “tidak boleh diterima” yang dimuat naik pada ulang tahun pertama cubaan rampasan kuasa 15 Julai 2016. – Gambar AFP, 7 Disember, 2017.

PEMENANG pertandingan ratu cantik Turki yang dipaksa menyerahkan kembali mahkotanya kerana tweet kontroversinya berdepan hukuman penjara setahun atas dakwaan “penghinaan terbuka” nilai masyarakat Turki, kata laporan pada Khamis.

Itir Esen, 18, menang Miss Turki 2017 pada September tetapi kemenangannya dibatalkan kerana tweet yang dianggap penganjur “tidak boleh diterima” yang dimuat naik pada ulang tahun pertama cubaan rampasan kuasa 15 Julai 2016.

Akibatnya, dia terlepas peluang mewakili Turki dalam pertandingan Miss World di China dan pendakwa raya membuka kertas siasatan terhadapnya.

Dalam tweet itu, dia membandingkan darah haidnya dengan darah 249 orang yang terbunuh dalam cubaan rampasan kuasa yang gagal dan kini dianggap sebagai syahid di Turki.

Pendakwa raya Turki mahukan dia dipenjara setahun kerana Esen didakwa “secara terbuka menghina kumpulan masyarakat kerana kelas, agama, mahzab, gender atau perbezaan daerah mereka,” kata agensi berita swasta, Dogan yang memetik kertas siasatan itu.

Mahkamah Istanbul akan memutuskan sama ada akan meluluskan atau menolak pendakwaan itu dalam tempoh 15 hari lagi, kata Dogan.

Selepas tweetnya diketahui umum, gelaran Miss Turki diberikan kepada naib juara, Asli Sumen yang kini akan mewakili Turki pada pertandingan Miss World di China pada 18 November. 

Esen mengesahkan yang dia menulis tweet itu secara “cuai” tetapi mengatakan dia tiada matlamat politik.

Pengkritik mengatakan kebebasan bersuara semakin terancam di Turki di bawah pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan apabila ribuan orang lagi juga didakwa kerana catatan media sosial mereka dianggap menghina pemimpin Turki yang berkuasa sejak 2014 itu.

Pendakwa raya pada 2015 melancarkan siasatan terhadap seorang lagi bekas Miss Turki, Merve Buyuksarac atas dakwaan menghina Erdogan menerusi akaun media sosialnya.

Tetapi hukuman 14 bulan penjaranya ditangguhkan dengan syarat dia tidak melakukan sebarang kesalahan lain dalam tempoh lima tahun. – AFP, 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen